IRAMA gesekan biola dan petikan gitar
berpadu, menghasilkan alunan harmoni dalam bilik muzik berkeluasan sederhana
itu. Masing-masing yang berada di dalam
bilik tersebut ikut sama terbuai
dalam pesona indah alunan yang dimainkan oleh seorang pemuda berkemeja kotak
dan gadis yang mengenakan blaus lengan panjang
rona biru itu. Usai muzik berhenti,
tepukan gemuruh mula menggamatkan bilik tersebut.
“Syabas! Saya yakin persembahan kita
semasa karnival muzik minggu depan pasti dapat sambutan hangat. Azhar, Farida,
kamu berdua sememangnya pasangan yang
ideal!” ujar Puan Najihah, pensyarah
muzik bagi kelas tersebut.
Kata-kata Puan Najihah mendapat
tepukan daripada para pelajarnya. Ada juga yang bersiul dan menjerit memanggil
nama Azhar dan Farida, membuatkan kedua-duanya
tersipu malu.
“Baiklah, semua boleh bersurai.
Jangan lupa minggu depan kita akan mulakan latihan koir pula. Jumpa lagi,” ucap
Puan Najihah lalu melangkah keluar, meninggalkan
bilik muzik itu.
“Isha dah agak you all berdua mesti
boleh punya. Best student katakan,” ujar seorang gadis berambut pendek separas
bahu pada Farida yang sedang memasukkan
biolanya ke dalam sarung.
“Awak pun apa kurangnya Felisha... Tak
ada siapa di fakulti ni yang boleh menandingi awak bila bermain piano,” balas
Farida dalam senyum kecil.
“Iyalah tu. Jom, pergi minum.
Hauslah...” ajak gadis yang dipanggil Felisha itu.
“Jom, saya belanja,” celah Azhar yang
sejak tadi mendiamkan diri.
“Yes!” jerit Felisha lalu mula
berjalan meninggalkan kedua-dua rakannya itu.
Azhar menoleh ke arah Farida. Mata
mereka bertentangan. Dikenyitkan mata kanannya. Pantas, Farida berpaling, malu.
Sarung biola di tangan digenggam erat.
Mereka mula berjalan beriringan,
meninggalkan bilik muzik itu.
“Dengarnya awak tengah cipta lagu?”
tanya Farida.
“Mana tahu?”
“Isha yang cakap. Dia nampak awak
tulis lirik masa kat dalam kelas hari tu,” terang Farida.
Azhar mengangguk.
“Lagu apa?”
“Lagu cinta.”
“Iya? Apa tajuknya?” soal Farida
lagi.
“Tajuk tak pasti lagi. Tapi kali ni
lagu yang saya cipta tu special sikit,” ujar Azhar.
“Special? Kenapa? Untuk siapa?”
bertalu-talu Farida bertanya.
“Adalah. Rahsia!” usik Azhar.
“Ala...” Farida sudah tarik muka,
pura-pura merajuk.
“Sampai masanya, awak akan tahu juga.
Awak akan jadi orang pertama yang tahu. Janji!”
“Janji?” Farida meminta kepastian.
Azhar mengangguk sambil mengangkat
telapak tangan seperti sedang berikrar.
“Hei, lambatnya you all berdua ni
jalan! Macam siput! Cepatlah, Isha dah haus ni!” jerit Felisha yang sudah jauh
ke hadapan.
Farida menggeleng sementara Azhar
ketawa kecil. Mereka mempercepatkan langkah. Tidak mahu Felisha yang dianggap
tuan puteri dalam kelas itu merungut lagi.
* * * * *
FARIDA yang sedang tekun mengelap
biolanya terganggu dengan bunyi keriuk pintu ditolak dari luar. Tidak perlu dia
berpaling kerana sudah tahu gerangan orangnya.
Kawan sebiliknya itu memang tidak
tahu mengetuk pintu dahulu sebelum masuk. Farida tidak kisah kerana bilik ini
dikongsi bersama. Bukan hak miliknya seorang.
“Ida!” jerit Felisha lalu meluru ke
arah kawan baiknya itu lantas memeluknya dari belakang.
“Eh, Isha! Kenapa ni?”
“I’m so happy! Mama Isha baru
telefon. Katanya ada special dinner Ahad ni,” jelas Felisha, masih tidak melepaskan
pelukannya.
“Wah, special dinner! Untuk apa?”
“Entah, tak ada pula mama beritahu.
Tapi, rasanya Isha dah boleh agak.”
“Apa dia?” tanya Farida, penuh
teruja.
Felisha meleraikan pelukannya. Kerusi
kosong di sebelah Farida ditarik lalu dilabuhkan punggungnya di situ. Farida
menatap wajah kawannya yang kelihatan
berseri, menanti bicara gadis
tersebut.
“Seminggu lepas, mama pernah cakap
nak kenalkan anak kawan baik dia pada Isha. A guy. And guess what? Lelaki tu
memang Isha suka sangat,” ujar Felisha.
“Iya? Wah, saya tumpang gembira.
Jadi, dinner tu untuk kenalkan awak berdualah ya?”
“Tepat sekali! Tak sabarnya nak
tunggu Ahad ni...”
Farida mengukir senyum kecil. Sungguh
dia gembira kerana kawan baiknya itu akan bertemu dengan kekasih hatinya. Pasti
anak orang berada juga. Maklumlah,
papa dan mama Felisha dari golongan
korporat. Pangkat Tan Sri dan Puan Sri. Sementelah Felisha adalah anak tunggal.
Dilayan bagai tuan puteri pula tu.
Pasti ibu bapanya mahukan yang
terbaik buat anak mereka.
Namun Farida bersyukur kerana Felisha
tidak memandang darjat dan pangkat dalam berkawan. Buktinya, gadis itu adalah
kawan baiknya. Gadis kampung sepertinya
dirasakan amat bertuah mengenali
Felisha, seorang yang manja dan cantik.
“Eh, ceritalah sikit tentang lelaki
tu. Mesti handsome, kan?” sambung Farida.
“Em nak kata handsome tu bolehlah.
Orangnya tinggi. Kulit cerah. Mata sepet macam orang Cina. Dah lama sebenarnya
Isha minat kat dia. Mula-mula Isha tak
tahu macam mana nak dekat dengan dia
sehinggalah satu hari tu mama bawa kawan dia datang makan tengah hari. Tak
sangka lelaki tu anak kawan mama. Isha
apalagi, terus beritahu mama yang
Isha suka lelaki tu.”
Farida tekun mendengar. Kalau sudah
namanya jodoh, pasti dipermudahkan Tuhan. Teringat pula kisah cintanya. Pertama
kali jatuh cinta, syukurlah ia juga
tidak melalui jalan berliku. Ketika
dilamar Azhar tiga bulan yang lalu, dia tidak terus menerima. Sebaliknya
berfikir dan melakukan solat istikharah. Dan
setelah yakin dengan kata hati,
barulah huluran kasih Azhar diterima.
Memang dia sudah lama menyimpan rasa
pada lelaki itu. Kata orang, cinta pandang pertama. Kali pertama melihat wajah
itu, hatinya diterpa debar yang menggila.
Jantung berdegup tidak sekata ketika
mata mereka bertemu. Apatah lagi melihat senyuman manis yang terukir di bibir
mungil Azhar, serasa mahu pengsan kala
itu namun cuba dikawal diri.
Ketika Azhar melamarnya untuk menjadi
kekasih, sungguh dia terkejut. Terasa seperti berada di awang-awangan sewaktu
lelaki itu melafaz kata cinta. Tidak
percaya lelaki itu turut menyimpan
rasa yang sama dengannya. Dan kini, dua hari lagi, genaplah hubungan meraka
tiga bulan. Kata Azhar, selepas tamat belajar
semester depan, lelaki itu akan
menghantar rombongan merisik dan seterusnya mereka akan bertunang.
“Ida! Ida! Farida!”
Panggilan Felisha menyentak lamunan
Farida. Ah, bila teringatkan Azhar, bagai berada dalam dunia sendiri. Sebuah
senyum kecil menguntum di bibirnya. Tumpuan
kembali ke arah gadis berbaju T-shirt
lengan panjang yang bercorak bunga kecil di depannya. Felisha mencebikkan
bibir. Senyum Farida melebar.
“Orang tengah bercakap pun sempat dia
mengelamun ya,” rajuk Felisha disambut dengan ketawa kecil Farida.
“Maaf, tak sengaja. Apa yang awak
cakap tadi?”
“Tentang lelaki yang Isha suka tu.
Farida kenal tau!”
Serentak, degupan jantung Farida
terasa berhenti seketika. Kata-kata Felisha menerbitkan gusar. Dia kenal lelaki
itu? Siapakah?
“Sa... Saya kenal?” soal Farida,
gugup.
Anggukan Felisha semakin mendebarkan
hati. Ligat fikirannya berputar. Mencari wajah-wajah kawan lelaki yang dia
kenali. Tetapi hanya satu wajah sahaja yang
muncul. Tuhan, janganlah lelaki
itu...
“Si... siapa?”
“Adalah. Nanti kalau dah confirm,
Isha beritahu ya. Okeylah, nak pergi washroom kejap,” ujar Felisha lalu bingkas
bangun, meninggalkan Farida dengan rawan
di hati.
Farida segera mencampakkan kain
pengelap yang sejak tadi dipegang. Dia segera meluru ke arah katil, mencapai
telefon bimbitnya. Keraguan yang bermaharajalela
dalam jiwa perlu segera diusir pergi.
Jika tidak, hatinya tidak akan tenang.
Pantas jari-jemarinya mendail lalu
menanti penuh debar. Beberapa saat kemudian, panggilannya dijawab.
“Assalammualaikum,” ucap pemanggil di
talian sebelah sana.
“Waalaikummussalam,” mendengar suara
itu, ada ketenangan yang menjalar ke kalbu.
“Ada apa Ida?”
“Em... Err... Em...” lidahnya
kehilangan kata.
“Kenapa ni?” tanya pemanggil itu
lagi.
“Azhar...”
“Ya?” sahut Azhar.
“Azhar ada pergi mana-mana tak Ahad
ni?”
“Hmm... Rasanya tak ada. Kenapa? Hah,
nak sambut anniversary tiga bulan ke?” tanya Azhar dalam gelak.
Farida meletakkan tangan kiri ke
dada. Seperti batu berat yang menghempap dadanya diangkat pergi. Lega. Dalam
masa yang sama, jiwanya dibuai indah. Lelaki
itu mengingati tarikh hubungan
istimewa mereka terjalin.
“Awak ni... Baru tiga bulan nak
anniversary apanya? Tak adalah, ingat nak ajak keluar makan,” dalih Farida.
“Boleh aje. Nanti Ida confirm nak
makan kat mana ya. Okeylah, saya ada group discussion ni. Sleep tight. Good
night!” ucap Azhar lalu mematikan panggilan.
Farida menghamburkan keluhan. Rawan
yang menyelubungi kalbu sirna. Fikirannya mula diterpa sesuatu. Siapa agaknya
lelaki yang disebutkan Felisha tadi?
Jam berbentuk segi empat yang dipaku
pada dinding dikerling. Sudah menjangkau pukul 9.30 malam. Biola yang dipinjam
dari fakulti untuk latihan sempena karnival
muzik nanti dimasukkan semula ke
dalam sarung. Entah bila dia dapat memiliki biola seperti ini. Keluarganya
bukan orang senang. Dapat melanjutkan pengajian
ke menara gading ini pun sudah cukup
bermakna padanya.
Lebih-lebih lagi sebagai anak sulung,
tanggungjawabnya besar dalam membantu meringankan beban keluarga. Adik-adiknya
seramai dua orang itu masih perlu meneruskan
pelajaran. Ayahnya sudah semakin
lanjut usia. Setahun lagi akan bersara. Emak pula sudah tiga tahun menemui
Ilahi kerana kanser rahim.
Farida membuang pandang ke luar.
Langit malam hitam pekat. Tiada kerdipan bintang mahupun sinaran rembulan. Baru
sahaja dia hendak bangkit, telefon bimbitnya
berbunyi menandakan ada panggilan
masuk. Melihat nama yang tertera di skrin, Farida tersenyum. Namun senyumannya
mati tiba-tiba apabila mendengar bait-bait
kata si pemanggil. Tanpa sedar,
telefon bimbit terlepas dari pegangan.
“Maaf, mama saya baru call. Ahad ni
saya kena balik rumah. Ada hal penting kata mama.”
Itulah kata-kata akhir yang sempat
ditangkap telinganya. Serta-merta tubuh Farida menggigil. Tuhan...
* * * * *
DEBARAN dalam hati usah diteka.
Setiap saat matanya tidak lepas dari melihat jam di dinding. Menanti dengan
penuh gementar. Beberapa minit menunggu, pintu
bilik akhirnya ditolak. Pantas Farida
bangun. Wajah ceria Felisha menyapa pandangan, membuatkan hati tambah berdebar.
“Hello!” sapa Felisha lalu duduk di
atas katilnya sambil membuka kasut tumit tinggi yang dipakai.
“Macam mana dengan makan malam tadi?”
Farida terus ke persoalan utama, tidak ada masa mahu berbasa-basi.
“Not bad.”
“Ceritalah, siapa lelaki tu?” tanya
Farida lagi.
“Kalau Isha beritahu jangan terkejut
ya,” ujar Felisha dalam senyuman.
“Siapa?” Farida menggesa walaupun dia
seakan tahu nama yang bakal meniti keluar dari mulut gadis yang berblaus hijau
ditaburi bunga putih itu.
“Azhar.”
Dup! Farida cuba mengawal tubuhnya
dari terjelepok. Benarlah. Benarlah apa yang berlegar dalam fikirannya sejak
Jumaat lepas. Tuhan, mengapa begini hebat
dugaan yang diberikan padanya?
“Ida! Hello! Are you okay?”
“Ah, maaf. Awak serius Isha?” soal
Farida, cuba mencari ketenangan.
“Hah, terkejut, kan? Isha pun tak
sangka mulanya Azhar tu anak kawan mama Isha. Tadi masa makan malam, mama Azhar
ada usik Isha. Katanya, bertuah dapat
bakal menantu macam Isha,” terang
Felisha.
Bakal menantu? Oh, kali ini Farida
rasakan dia benar-benar mahu rebah namun segera dia duduk di kerusi belajar.
Tidak, hal ini tak boleh dibiarkan. Azhar
miliknya! Tapi... Bukankah Felisha adalah
teman baiknya? Argh! Kusut!
Bunyi deringan telefon bimbit menarik
perhatian kedua-dua gadis itu. Farida hanya membiarkan telefon bimbitnya
menjerit nyaring dan akhirnya berhenti sendiri.
Dia tahu benar siapa yang menelefon.
Lagu “No Air” dari drama Inggeris ‘Glee’ itu merupakan kesukaan Azhar. Dia
masih belum bersedia untuk bersemuka dengan
lelaki itu. Telefon bimbitnya sekali
lagi berbunyi.
“Kenapa tak angkat?” tegur Felisha.
“Orang tak kenal. Dari tadi asyik
kacau. Malas nak layan,” bohong Farida.
“Hmm... Isha nak salin baju dululah.
Lepas tu nak tidur terus. Penat drive,” ujar Felisha lalu melangkah ke almari
pakaiannya.
Farida merenung telefon bimbit di
atas meja. Fikirannya celaru. Antara kekasih hati dan sahabat baik, yang mana
satu perlu menjadi korban?
* * * * *
“IDA, kenapa ni? Saya ada buat salah
ke?”
Farida tidak hiraukan pertanyaan
lelaki berkemeja kotak rona coklat itu. Dia melangkah laju, bimbang terserempak
dengan Felisha yang masih berada di dalam
bilik kuliah.
“Farida!” nada suara Azhar sudah naik
satu oktaf.
Langkah Farida terhenti. Tanpa
berpaling, dia bersuara, “Jumpa saya petang ni dekat taman mini pukul enam.”
Usai menyatakan ayat tersebut, Farida
kembali menyambung langkah. Panggilan dari Felisha juga tidak dihiraukan.
Setelah berfikir semasaknya, dia sudah membuat
keputusan. Dia yakin, keputusannya
ini akan memberi kebahagiaan pada Felisha, Azhar dan juga dirinya sendiri.
Farida terus melangkah tanpa hala
tuju. Akhirnya, dia berhenti melepas lelah di bawah gazebo kecil berhampiran bilik
muzik. Lantas, dihalakan kaki ke bilik
tersebut. Pintu ditolak perlahan.
Seorang petugas wanita yang duduk di kaunter dihampirinya. Selesai mendaftarkan
nama dan meninggalkan kad pelajar, dia
ke bilik yang menempatkan alat-alat
muzik. Matanya terus tertancap pada piano yang tersergam megah di sudut kiri
bilik tersebut.
Perlahan-lahan Farida menghala ke
arah piano itu. Penutup papan kekunci dibuka. Lalu, jemarinya mula menari di
atas papan kekunci. Matanya dipejamkan. Lagu
bertajuk “Saat Terakhir” dendangan
kumpulan dari seberang, ST12 dimainkan.
Tak pernah terfikir olehku
Tak pernah sedikit pun ku menyangka
Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri
Begitu sulit ku menyangkal
Begitu sakit ku rasakan
Kau akan pergi tinggalkan ku sendiri
Inilah saat terakhirku melihat kamu
Jatuh air mataku menangis pilu
Hanya mampu ucapkan selamat jalan
kasih
Satu jam saja ku telah bisa
Cintai kamu kamu kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup
Satu jam saja ku telah bisa
Sayangi kamu di hatiku
Namun bagiku melupakanmu
Butuh waktuku seumur hidup
Di nantiku
Belum habis lagu itu dimainkan,
tiba-tiba Farida menekan kuat papan kekunci. Bergema bilik tersebut dengan
bunyi piano yang kuat. Sekali lagi Farida membuat
perilaku yang sama. Tanpa sedar, ada
manik-manik jernih yang berjuraian di pipi. Sakit. Perit. Itulah yang dirasakan
saat ini.
* * * * *
BANGKU kayu yang dicat kuning itu
menjadi tempat pertemuan Farida dan Azhar petang itu. Tidak ramai pelajar yang
berada di taman mini tersebut. Rata-rata
lebih gemar ke pusat sukan untuk
beriadah.
Semasa Farida sampai, Azhar sudah
duduk menanti di bangku kayu tersebut. Pohon semarak api yang tumbuh berjajar
di taman itu sudah mula rekah berbunga.
Jingga dan merah warna bunganya.
Semilir yang berpuput sedikit pun tidak menghantar tenang dalam hati Farida.
Sebentar lagi dia akan mencampakkan diri
ke lembah derita. Biarlah, dia rela.
Asalkan mereka yang dia sayangi bahagia.
“Assalammualaikum, maaf saya lewat,”
sapa Farida lalu duduk di bangku tersebut, sedikit jarak dari Azhar.
“Waalaikummussalam. Tak apa, saya pun
baru sampai,” balas Azhar.
Sepi mula mengambil tempat.
Masing-masing melayan perasan. Empat hari berlalu sejak Ahad lepas dan
sepanjang empat hari itu Farida menjauhkan diri dari
Azhar. Walaupun belajar di dalam
kelas yang sama, Farida menganggap Azhar bagai orang asing. Ketika sesi latihan
pula Farida buat tidak endah sahaja akan
kewujudan Azhar. Apatah lagi melihat
Felisha yang semakin mesra dengan kekasih hatinya itu.
“Kenapa jauhkan diri?” akhirnya Azhar
memecah sunyi.
“Awak ke mana Ahad lepas?” soalan
Azhar dijawab dengan soalan oleh Farida.
“Kan saya dah beritahu, saya balik
rumah.”
“Buat apa di rumah?”
“Ada hal sikit,” jawab Azhar acuh tak
acuh.
“Hal apa?”
“Ida nak tahu ke?”
“Kalau awak tak keberatan nak
cerita,” jawab Farida, masih memandang ke hadapan.
Azhar menarik nafas lalu
menghembuskannya perlahan-lahan.
“Saya ke rumah Felisha.”
Farida memejamkan mata. Dia perlu
kuatkan semangat. Segala-galanya perlu ditamatkan.
“Kenapa tak cakap yang sebelum ni
awak pernah ke rumah Felisha?” tanya Farida.
“Jadi, Felisha dah ceritakan
semuanya?”
“Felisha bakal menantu yang baik.
Mama awak sukakan dia,” ujar Farida.
“Tapi saya cintakan Ida.”
“Belum tentu keluarga awak terima
saya. Keluarga awak dan Felisha dah kenal antara satu sama lain. Tentu mereka
mahu hubungan persahabatan itu jadi lebih
erat. Lagipun, awak berdua memang
sepadan. Masing-masing dari golongan korporat. Saya ni hanya pipit sahaja. Yang
menumpang kasih dengan enggang,” jelas
Farida.
“Ida, kenapa cakap macam tu? Saya
yakin keluarga saya tak anggap macam tu. Mereka beri kebebasan pada saya untuk
pilih suri hidup saya sendiri. Saya dah
pilih Ida. Hanya Ida,” tegas Azhar.
“Cukuplah Azhar. Anggaplah kita tiada
jodoh. Felisha adalah pilihan yang baik. Saya tahu dia sayangkan awak. Dia
mampu bahagiakan awak.”
“Jangan merepek Ida. Saya sayangkan
Felisha sebagai seorang kawan. Tak lebih dari tu. Kenapa Ida nak undur diri
pula?”
“Saya tak nak kehilangan Felisha. Dia
kawan baik saya. Kawan yang sentiasa berada di sisi saya semasa susah mahupun
senang,” terang Farida.
“Jadi awak sanggup kehilangan saya?
Rupanya saya tak penting pada awak...” lemah suara Azhar.
Farida bungkam. Azhar silap. Lelaki
itu sangat penting padanya. Lebih penting dari nyawanya sendiri. Apakah Azhar
tidak tahu menilai kasih sayangnya pada
lelaki itu selama ini?
“Maafkan saya. Walau apapun, kita
tetap kawan, kan?” pinta Farida.
Azhar diam. Tidak sedikit pun
memandang ke wajah gadis yang selalu menemani lenanya itu. Hatinya tercalar.
Farida begitu mudah mengalah sebelum berlawan.
“Saya tahu saya dah lukakan hati
awak. Saya juga terluka. Tapi percayalah, ini yang terbaik untuk kita. Saya
sayangkan Felisha. Saya juga sayangkan awak.
Namun untuk menyintai awak, saya rasa
Felisha lebih layak. Maafkan saya...” ujar Farida, sayu.
Bunyi ranting kayu yang dipijak
menarik perhatian Azhar dan Farida. Kedua-duanya lantas berpaling ke arah
batang pokok semarak api itu. Azhar bangun begitu
juga dengan Farida. Dapat dilihat
seorang gadis sedang berlari meninggalkan kawasan taman mini itu. Mata mereka
bertentangan. Azhar mengangguk. Farida
terjelepok ke atas rumput yang
menghijau. Mereka kenal benar gadis itu walau dipandang dari belakang.
Habislah, Felisha sudah dengar semuanya...
* * * * *
SABTU tiba jua. Hari ini bermulanya
karnival muzik yang setiap tahun diadakan. Karnival selama dua hari ini
dianjurkan oleh Fakulti Muzik. Pelbagai aktiviti
diadakan seperti pameran,
pertandingan nyanyian, garage sale dan sebagainya. Sebentar lagi majlis
perasmian akan disempurnakan oleh pengarah kampus bersama-sama
dekan fakulti. Usai majlis perasmian,
persembahan dari pelajar-pelajar muzik tahun akhir akan diadakan.
Farida tidak punya semangat untuk
meneruskan persembahan. Dua hari rakan sebiliknya tidak kelihatan. Felisha
tidak pulang ke bilik mahupun menghadiri kuliah.
Sesi latihan koir apatah lagi.
Tiba-tiba sahaja Puan Najihah mengatakan yang Felisha menarik diri kerana
faktor kesihatan.
Dia tahu itu hanya alasan yang direka
oleh Felisha. Telefon tidak berangkat, mesej tidak berbalas. Mungkin terlalu
dalam luka di hati Felisha sehingga mengambil
masa sebegini lama untuk merawatnya.
Sungguh Farida risau akan keadaan kawan baiknya itu. Pasti Felisha kecewa.
Gadis itu akan menganggap dia sebagai pengkhianat.
Dia yakin, persahabatan yang terjalin
hampir tiga tahun itu sudah berkubur. Felisha tidak akan mempercayai dirinya
lagi.
Farida yang menunduk mengangkat wajah
apabila dirasakan ada seseorang berada di hadapannya. Azhar menguntum senyum
tawar. Ah, lelaki di hadapannya ini juga
tidak dapat diteka perasaannya.
Ternyata dia tidak mampu menahan gelora rindu yang bermukim di pantai hati. Dia
tidak dapat menipu dirinya, perasaannya,
jiwanya bahawa dia sangat merindui
Azhar. Lelaki ini terlalu dekat namun sukar untuk digapai.
Tidak, dia tidak boleh lemah.
Bukankah dia sudah nekad untuk melepaskan lelaki ini pergi? Tetapi, mengapa
semakin jauh dia berlari, bayang-bayang Azhar
semakin menghampiri? Ingatan dan
kenangan indah bersama-sama lelaki ini kerap kali bertali-arus terlayar di
ruang minda. Sekaligus mencarik rakus luka
di hati.
“Bersedialah, sebentar lagi giliran
kita,” ujar Azhar, mengembalikan Farida ke alam realiti.
“Felisha ada hubungi awak?”
Azhar hanya diam lalu berpaling
pergi. Farida dicengkam rasa bersalah yang teramat. Kini dia bukan sahaja
kehilangan kekasih hati, malah sahabat baik juga
sudah menjauh pergi. Salah diakah
kerana tidak pernah memberitahu Felisha akan hakikat hatinya telah dimiliki?
Bukan dia tidak mahu menyampaikannya tetapi
hubungan cintanya dengan Azhar masih
hijau. Cadangnya, sebelum tamat semester, baru dia akan memberitahu Felisha.
Tapi, nasi sudah menjadi bubur.
Suara pengerusi majlis kedengaran
menjemput tetamu kehormat untuk memulakan majlis perasmian. Farida bangun dengan
lemah. Dia menarik nafas panjang. Selepas
tamat persembahan, dia nekad untuk
mencari Felisha. Pasti gadis itu berada di rumahnya.
“Baiklah, sekarang kita akan
disajikan dengan persembahan dari para pelajar tahun akhir yang akan
mendendangkan beberapa buah lagu secara medley. Dengan
segala hormatnya, dipersembahkan!”
ujar pengacara majlis yang segak memakai kot hitam itu.
Semua peserta yang membuat
persembahan bersiap-sedia. Farida mengikuti langkah Azhar ke atas pentas. Dewan
besar itu kelihatan padat dengan orang ramai.
Ada gemuruh yang menjalar dalam hati
Farida. Pertama kali dia membuat persembahan di hadapan orang ramai sebegini.
Bagai menyedari gelisah yang melanda
Farida, Azhar memetik gitarnya perlahan, membuatkan Farida menoleh ke arahnya.
Dikenyitkan sebelah mata pada gadis
itu lantas mengangguk. Farida
mengukir senyum kecil. Matanya dipejamkan.Dia mula memegang biola di tangan
kiri dan memulakan gesekan. Bergema dewan tersebut
dengan irama merdu dari gesekan
biolanya. Tenang dan mendayu.
Kemudian, diikuti dengan petikan
gitar dari Azhar, menghasilkan kombinasi alunan gemersik yang membuai rasa.
Perlahan-lahan tirai di belakang diangkat dan
para peserta koir mula menyanyi.
Selesai membuat persembahan, Farida
segera turun dari pentas. Dia mahu mencari sahabat baiknya. Biola dimasukkan ke
dalam sarung lalu dia pantas belari
namun terhenti apabila lengannya
ditarik. Farida berpaling dan matanya membulat.
“Tunggulah, persembahan masih belum
tamat.”
“Sekarang, persembahan istimewa dari
Azhar dengan lagunya ‘Melodi Cinta’. Saksikanlah!” suara pengacara majlis
menyapa telinga Farida.
“Lagu ini saya tujukan buat
satu-satunya gadis yang saya cintai. Sebuah lagu yang dicipta istimewa
untuknya. Kepada Farida, jangan pernah berhenti menyanyi
lagu cinta kita,” ujar Azhar
membuatkan seisi dewan kecoh.
Petikan gitar mula kedengaran. Farida
rasakan jiwanya bergetar hebat. Suara Azhar terasa menusuk kalbu.
Kau bidadari terindah
Yang ku temu dalam lewat hariku
Kau yang satu antara seribu
Kau menawan hatiku
Saat bertentang mata denganmu
Seluruh jiwaku berlagu
Melodi cinta kucipta buatmu
Agar jadi pengubat rindu
Tiada kata yang mampu ku ucapkan
Untuk aku miliki seluruh isi hatimu
Agar dapat aku khabar pada dunia
Betapa kucinta kamu
Kau tercantik antara yang ada
Kau terhebat di dalam jiwa
Kau sempurna di pandang mata
Aku mahu kamu
Cintaku
Dengarlah lagu kucipta buatmu
Agar kau tahu
Rahsia hati ku
Betapa benar aku cintai kamu…
Usai petikan gitar berhenti, tepukan
gemuruh kedengaran menguasai dewan. Farida memandang wajah di hadapannya penuh
tanda tanya.
“Azhar hanya milik awak Ida. Melodi
cintanya tidak akan merdu jika dinyayikan untuk Isha,” ucap Felisha, lembut.
Farida merangkul Felisha ke dalam
pelukan. Air matanya lebat mencurah.
“Terima kasih Isha! Terima kasih!”
“Isha yang sepatutnya berterima kasih
pada Ida. Kalau Isha tak ikut Ida hari tu, entah sampai bila Isha akan buat dua
orang kawan baik Isha ni terseksa.”
“Ta... Tapi awak sukakan Azh...”
“Suka tak bermakna cinta. Mulanya
Isha sakit hati, marah bila tahu kawan baik Isha turut menyayangi lelaki yang
Isha suka. Tak dinafikan, Isha kecewa sebab
terlewat. Cinta Azhar sudah dimiliki
oleh gadis lain. Tapi, Isha bersyukur kerana gadis itu adalah kawan baik Isha
sendiri. Isha yakin, hanya Ida yang
dapat bahagiakan Azhar,” ujar Felisha
lalu meleraikan dakapan Farida.
Farida menyeka air mata yang mengalir
dengan jemarinya. Wajah Azhar menyapa ruang mata. Lelaki itu tersenyum lebar.
Perlahan-lahan bibir Farida turut mengukir
senyum. Manis. Ya, seperti kata
Azhar, dia tidak akan sesekali berhenti menyanyi melodi cinta yang ditujukan
istimewa untuknya!