Pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri yang tinggal agak
terpencil dari orang ramai. Si suami bernama Pak Ali dan Si Isteri
bernama Mak Labu. Sungguhpun sudah lama mereka berumah tangga tetapi
mereka masih belum mempunyai cahaya mata.
Pada suatu hari Pak Ali telah berterus terang dengan isterinya. "Labu,
aku berhajat hendak beristeri seorang lagi kerana berkehendakkan anak,
walaupun sudah lama engkau menjadi isteri aku tetapi engkau tidak
dapat melahirkan anak."
"Kalau bergitu niat abang, saya relalah abang berkahwin lain walaupun
berat rasa hati ini," beritahu Mak Labu terus terang.
"Terimakasih atas kerelaan engkau itu Labu. Aku akan bersifat sama
adil bila aku beristerikan seorang lagi nanti," janji pak Ali.
Akhirnya Pak Ali pun beristeri baru. Isteri barunya itu bernama Mak
Kundur. Walaupun mereka bermadu tapi mereka tinggal serumah. Tepat
seperti dijanjikan, Pak Ali melayan isteri-isterinya itu
seadil-adilnya.
Setelah setahun berkahwin, dengan tidak disangka-sangka isteri tuanya
yang disangka mandul itu mengandung empat bulan dan isteri mudanya
mengandung tiga bulan.
"Syukur kepada Allah kerana tidak lama lagi aku akan mendapat dua
orang anak sekaligus," fikirnya dalam hati.
Apabila sampai masanya, kedua-dua orang isterinya itu pun melahirkan
anak. Kedua-duanya anak perempuan belaka. Anak Mak Labu diberi nama
Bawang Merah dan anak Mak Kundur bernama Bawang Putih. Nama-nama itu
diambil sempena dengan tanaman Pak Ali yang sangat subur pada masa itu
iaitu bawang merah dan bawang putih. Semenjak itu juga nama kedua-dua
isterinya ditukar menjadi Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih. Masa
terus berlalu. Kini umur kedua-dua anaknya telah mencapai dua belas
tahun. Rupa kedua-dua gadis itu sangatlah cantik. Memang sukar
anak-anak gadis di kampung itu hendak mengatasi kecantikkan Bawang
Merah dan Bawang Putih. Tetapi kalau ditanya kepada Mak Bawang Putih
siapakah yang lebih cantik, tentu Mak Bawang Putih akan menjawab
Bawang Putih yang cantik. Jika ditanya kepada Mak Bawang Merah, Mak
Bawang Merah akan menjawab yang kedua-duanya sederhana tidak ada siapa
yang lebih cantik.
Tentang perangai pula, didapati Bawang Putih lebih nakal dan jahat. Disuruhnya
Bawang Merah memasak nasi dan membuat kerja itu dan ini. Kalau di
hadapan Pak Ali, Bawang Putih pandai pula bermuka-muka membuat kerja.
Pada suatu hari Pak Ali pergi mengail ikan dengan Bawang Merah. Hari
itu nasib Pak Ali kurang baik kerana entah bagaimana Pak Ali disengat
oleh seekor ikan sembilang yang baru sahaja mengena kailnya. Pak Ali
memanggil anaknya Bawang Merah membantunya kerana tidak tahan
menanggung kesakitan akibat disengat oleh ikan itu. Dengan perasaan
yang cemas, Bawang Merah memapah bapanya pulang ke rumah.
Apabila sampai di rumah, kedua-dua isterinya terperanjat melihatkan Pak
Ali pulang dalam kesakitan. Mak Bawang Merah pergi menjemput Pawang
Jidun iaitu seorang pawang yang terkenal di kampung itu. Pawang Jidun
pun mengubat Pak Ali secara perubatan tradisional. Oleh kerana ajalnya
telah sampai, perubatan Pawang Jidun tidak memberi apa-apa kesan. Pak
Ali pun meninggal dunia. Pemergian Pak Ali yang kekal abadi itu
ditangisi oleh keluarganya.
Semenjak Pak Ali meninggal dunia, perselisihan dan pergaduhan diantara
Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih selalu sahaja terjadi. Sebab
utama tentulah hal anak-anak kerana mereka tinggal serumah jadi selalu
sajalah mereka bertengkar.
Mak Bawang Putih sangat benci kepada Mak Bawang Merah. Dia sentiasa
sahaja mencari peluang untuk menghapuskan Mak Bawang Merah. Pada suatu
hari, peluang yang ditunggu-tunggu selama ini terbuka. Apalagi hanya
mereka berdua sahaja yang berada ditempat itu. Kebetulan Mak Bawang
Merah sedang menceduk air di perigi lama. Mak Bawang Putih datang dari
arah belakang dan terus menolak Mak Bawang Merah ke dalam perigi. Oleh
kerana perigi itu dalam, dia terus tenggelam dan lemas. Perigi itu
jarang digunakan. Selalunya mereka menggunakan perigi di hadapan rumah
mereka.
"Mampuslah engkau!" jerit Mak Bawang Putih dengan geramnya.
Tiga jam berlalu tetapi Bawang Merah masih belum tahu kemana emaknya
pergi. Sedang dia termenung dan bersedih hati memikirkan ibunya,
tiba-tiba Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya
lalu Bawang Merah pun jatuh pengsan di situ juga dengan berlumuran
darah keluar dari hidung dan mulutnya. Mak Bawang Putih yang tidak
menaruh belas kasihan apabila melihat Bawang Merah pengsan itu, terus
mengajak anaknya bersama-sama pergi ke rumah saudaranya.
Tidak berapa lama selepas itu, Bawang Merah tersedar dari pengsan. Dia
menangis tersedu-sedu sambil memangggil-manggil nama emaknya. Puas
dipanggil dan dicari namun tidak ada. Dia juga hairan kerana Mak
Bawang Putih dan Bawang Putih juga tidak ada di rumah. Hari sudah
malam tidak ada sesiapa yang pulang. Bawang Merah merasa cemas tinggal
keseorangan diri di rumah yang di kelilingi hutan tebal itu. Pintu
rumah dikunci rapat-rapat. Setelah jauh malam akhirnya dia pun
tertidur.
Dalam tidurnya dia bermimpi ibunya datang kepadanya dengan memakai
telekung putih. "Anakku bawang Merah! Mak telah mati ditolak ke dalam
perigi lama oleh Mak Bawang Putih semasa mak menceduk air. Mak tidak
sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu terhadap Mak. Ingatlah
anakku, kau jagalah diri mu dari telatah Mak Bawang Putih yang ganas
itu. Sekarang Mak hendak pergi dahulu. Kau tinggallah baik-baik."
Sebaik sahaja emaknya meminta diri, Bawang Merah pun terjaga dari
tidurnya. Dia memandang sekeliling mencari-cari emaknya. Mulutnya
memanggil-manggil "Mak…….Mak."
Namun tidak ada jawapan, barulah dia sedar rupanya dia bermimpi, dia
menangis sekuat-kuat hatinya kerana dia pecaya segala kata-kata dalam
mimipinya tadi dan tambahan pula dengan sikap Mak Bawang Putih yang
memukulnya dan meninggalkannya itu.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia pergi ke perigi tersebut. Tanpa disedari
air matanya membasahi kedua belah pipinya sambil mulutnya bersuara.
"Mak……..Mak."
Sedang Bawang Merah bersedih memerhati ke dalam perigi itu, dengan
kehendak Allah tiba-tiba timbullah seekor ikan kaloi. Ikan itu boleh
berkata-kata:"Wahai anakku Bawang Merah. Akulah mak engkau. Mak telah
mati ditolak ke dalam perigi ini oleh Mak Bawang Putih. Engkau
datanglah bermain dengan mak pada tiap-tiap hari. Bawalah makanan
untuk mak sekepal nasi melukut dan sayur keladi." Kemudian ikan itu
tidak dapat berkata lagi untuk selama-lamanya.
Setelah itu Bawang Merah pun pulang ke rumah. Bila sampai di rumah
didapati Mak Bawang Putih dan Bawang Putih sudah menunggu dengan muka
bengis.
"Ke mana engkau pergi?"
Mak cik, saya sedang mencari mak saya," jawab Bawang Merah.
"Mak engkau sebenarnya telah mati kerana jatuh ke dalam perigi. Aku
telah berusaha hendak menolongnya tetapi tidak terdaya," jawab Mak
Bawang Putih berbohong.
Bawang Merah tidak berkata apa-apa. Dia tidak percaya dengan kata-kata
Mak Bawang Putih. Dia yakin dengan mimpinya malam tadi dan percakapan
ikan kaloi di perigi sebentar tadi.
"Lekas pergi ke dapur dan masak untuk kami. Ingat! Mulai hari ini kami
berdua menjadi raja dalam rumah ini, kami tidak mahu membuat apa-apa
kerja. Segala kerja seperti memasak, mencuci kain dan mengemas rumah
adalah tugas engkau!" beritahu Mak Bawang Putih dengan sombong.
Bawang Merah terpaksa menurut sahaja perintah itu. Tiap-tiap hari
tidak ada peluang langsung dia hendak berehat, asyik dengan membuat
kerja sahaja.
Bagaimanapun pagi-pagi lagi sebelum Mak Bawang Putih dan Bawang Putih
bangun dari tidur, dia sudah pergi ke perigi. Lalu dia bergurindam
memanggil ibunya:
"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari."
Sebaik sahaja Bawang Merah bergurindam, ikan kaloi itu pun timbul lalu
Bawang Merah pun memberi makan. Setelah selesai Bawang Merah pun
pulang.
Pada mulanya perkara itu tidak diketahui oleh sesiapa. Dua minggu
selepas itu, rahsia itu pecah juga. Pagi itu Bawang Putih bangun dari
tidur terlebih awal kerana hendak membuang air kecil. Selepas buang
air, dia terdengar suara orang bergurindam. Perlahan-lahan dia
mengintai di sebalik semak.
"Oh, di sini rupanya si Bawang Merah datang hari-hari. Akan aku
perhatikan apa yang dibuatnya disini." bisik Bawang Putih.
Dia dapat melihat dan mendengar segala-galanya yang berlaku. Lantas
dia cepat-cepat pulang dan mengadu kepada emaknya.
"Oh begitukah? Nanti aku akan tangkap ikan itu!" kata mak Bawang
Merah. Segala rangkap gurindam itu dihafal oleh Mak Bawang Putih. Pada
waktu tengah hari ketika Bawang Merah sedang bekerja di rumah, Mak
Bawang Putih pergi ke perigi itu dan membawa sekepal nasi melukut dan
sayur keladi. Mak Bawang Putih pun bergurindam:
"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari."
Ikan itu tidak timbul. Mak Bawang Putih bergurindam lagi. Tidak timbul
juga. Kemudian Bawang Putih pula yang bergurindam. Tidak juga timbul.
Bawang Putih bergurindam lagi. Barulah ikan itu timbul. Sebaik sahaja
ikan itu timbul, ikan itu pun disauk dengan penyauk. Secara diam-diam
mereka membawa balik ikan itu.
"Bawang Merah, tengah hari ini biarlah Mak Cik masak. engkau pergi
cari kayu api," katanya kepada Bawang Merah.
"Baiklah Mak Cik."
Sepeninggalan Bawang Merah, Mak Bawang Putih pun menggulai ikan itu.
Bila Bawang Merah pulang dari mencari kayu api, dia terus dipelawa
makan nasi berlaukkan ikan gulai tadi. Berselera sekali nampaknya dia
memakan ikan itu.
Keesokkan paginya seperti biasa Bawang Merah pergi ke perigi untuk
memberi iakn kaloi itu makan. Dia bergurindam. Tapi berkali-kali dia
mengalunkan gurindam ikan kaloi itu tidak timbul-timbul. Dia pun
menangis teresak-esak kerana ikan kaloi tidak lagi timbul. Sedang dia
menangis tiba-tiba terdengar satu suara ghaib …
"Tidak usahlah engkau menangis Bawang Merah. Ikan kaloi sudah
ditangkap oleh Mak Bawang Putih dan sudah dibuat gulai yang engkau
makan semalam. Dan sekarang engkau carilah tulang-tulangnya dan
tanamlah." kemudian suara itu pun hilang.
Sebaik saja suara itu ghaib, Mak Bawang Putih datang dari arah
belakang dan memukulnya dengan kayu.
"Anak sial! Apa yang engkau buat di tepi perigi ini? Oh, engkau hendak
berjumpa mak engkau ikan kaloi itu ya! Semalam yang engkau makan
itulah ikan kaloi mak engkau! Lekas balik ke rumah dan masak nasi"
herdik Mak Bawang Putih.
Setelah selesai memasak nasi, dengan senyap dia turun ke bawah rumah
untuk mencari tulang-tulang ikan itu. Puas dia mencari, barulah
berjumpa tulang-tulang itu dihimpun dan ditanam di atas bukit jauh
sedikit dari rumahnya. Atas kehendak Allah Taala, dalam masa sebulan
sahaja tukang-tulang ikan itu menjadi sepohon pohon beringin yang
rendang. Dia menggantungkan buaian di dahan pohon itu. Ketika ada masa
lapang, dengan diam-diam dia bermain buaian disitu. Sambil berbuai dia
akan menyanyi:
Tinggi-tinggi pohon beringin
Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu
Dengan berbuat demikian dapatlah juga meghiburkan hatinya yang sedang
gelisah. Pada ketika itu ada seorang raja sedang berburu. Baginda
diiringi oleh beberapa orang hulubalangnya. Sudah dua hari dua malam
baginda berburu tetapi tidak mendapat seekor binatang buruan pun.
Namun begitu baginda tetap sukacita. Perangainya berbeza dari biasa.
Biasanya kalau dalam keadaan begitu baginda sangat murka dan terus
mengajak pengiring-pengiringnya pulang sahaja. Perubahan perangai
baginda itu sangat luar biasa.
Pada pagi yang ketiga mereka berburu lagi. Tiba-tiba melintas di
hadapan baginda seekor rusa. Dengan pantas baginda memanah tetapi
tidak kena. Biasanya kalau seperti itu, rusa itu sudah tentu terkena
anak panah baginda.
Baginda memerintah hulubalang-hulubalangnya mengejar rusa itu sambil
mencari binatang buruan yang lain. Namun segala-galanya hampa. Sedang
mereka berjalan-jalan, salah seorang hulubalang mendengar suara
seorang perempuan menyanyi.
"Datuk Menteri, cuba dengar suara perempuan sedang menyanyi!" kata
hulubalang kepada Datuk Menteri.
"Mengarut engkau ini. Dalam hutan begini mana ada perempuan menyanyi!"
jawab Datuk Menteri.
"Cuba Datuk dengar sendiri."
"Jangan-jangan suara hantu!" kata Datuk Menteri.
Mereka bersepakat hendak menghampiri ke tempat suara itu, akhirnya
mereka dapat melihat penyanyi itu ialah Bawang Merah. Kerana wajah
Bawang Merah yang sangat cantik mereka berpakat hendak mempersembahkan
pertemuan itu kepada tuanku kerana tuanku Raja Parameswara
masih belum beristeri.
Bawang Merah terasa dirinya sedang diintai. Dia pun cepat-cepat lari
pulang. Dua orang hulubalang tadi mengekori Bawang Merah secara sulit
untuk mengetahui rumahnya.
Kemudian mereka pun persembahkan perkara itu kepada baginda. Baginda
sangat senang hati mendengar cerita itu. Mereka pun beramai-ramai
pergi ke rumah Bawang Merah.
"Assaalamualaikum."
"Waalaikumussalam."jawab Mak Bawang Putih.
"Tuan hamba, sebentar tadi kami melihat ada seorang gadis cantik
sedang bermain buaian di bukit sana." Kata Datuk Menteri.
"Gadis cantik? Oh..memang ada dia anak patik," jawab Mak Bawang Putih.
Maka mak Bawang Putih pun memanggil Bawang Putih keluar untuk mengadap
Datuk Menteri.
"Bukan ini. Yang lain. Dia lebih cantik!" jawab Datuk Menteri.
" Yang seorang lagi ada tapi dia orang gaji patik" jawab Mak Bawang Putih.
Bila mak Bawang Putih menarik Bawang Merah mengadap Datuk Menteri
tiba-tiba Datuk Menteri menjerit.
"Haa inilah orangnya! Dialah yang berbuai dan menyanyi dengan merdunya!"
"Menyanyi?" fikir Mak Bawang Putih.
"Tuanku, kalau dalam soal menyanyi anak patik Bawang Putih lagi pandai."
Untuk itu baginda sultan hendak membuat ujian di hadapan orang ramai.
Mula-mula Bawang Putih dahulu yang menyanyi. Bawang Putih belum pernah
menyanyi dan menaiki buaian lalu merasa kekok sekali. Hendak naik ke
atas buaian pun teragak-agak. Kemudian dia pun menyanyi. Suaranya
sumbang dan tidak ada irama langsung. Senikatanya pun tidak ada erti
langsung.
Tiba pula giliran Bawang Merah. Secara senang sahaja dia menaiki
buaian. Buaian itu tidak perlu dihayun. Ia berbuai sendiri semakin
lama semakin laju. Nyanyiannya pula sangat merdu. Sama seperti yang di
dengar oleh Datuk Menteri dan hulubalang-hulubalang. Dengan itu
baginda sultan pun bersetuju menjadikan Bawang Merah permaisuri
baginda.
"Apakah ini orang gaji Mak Cik?" tanya baginda.
"Ampun tuanku, sebenarnya dia ini anak tiri patik. Walaupun anak tiri,
patik menjaga seperti anak sendiri".
Akhirnya berkahwinlah Bawang Merah dengan tuanku. Dia pun menjadi
isteri kesayangan baginda dan telah berpindah di istana baginda.
Walaupun begitu Bawang Merah tetap tidak menyisihkan Mak Bawang Putih
dan Bawang Putih. Mereka tetap diajak tinggal bersama di istana.
Walaupun dapat tinggal di istana dengan segala kemudahan disediakan,
namun iri hati dan jahatnya masih membara. Mak Bawang Putih ingin
melihat Bawang Merah bercerai dengan baginda sultan dan mengambil
anaknya Bawang Putih sebagai ganti.
Suatu hari dia masuk ke bilik Bawang Merah.
"Sungguh-sungguhkah kau sayangkan suamimu?" tanya Mak Bawang Putih
kepada Bawang Merah.
"Kenapa Mak Cik tanya begitu? Takkan saya tidak sayang kepada suami!"
jawab Bawang Merah.
"Begini, sebenarnya engkau ini tidak layak menjadi permaisuri kerana
tidak berketurunan raja!"
"Benar kata makcik itu. Habis apa saya harus buat?"
Lalu diberi sebungkus miang buluh. Miang buluh itu disuruh tabur di
seluruh tempat tidur baginda.
"Dengan cara ini baginda akan merasa sangat sayang kepada engkau dan
baginda akan lupa sama sekali tentang keturunan engkau," kata Mak
Bawang Putih. "Tetapi jangan beritahu yang Mak Cik suruh berbuat
begitu," pesannya lagi.
Malam itu baginda hendak beradu. Oleh kerana terasa hangat, baginda
membuka baju lalu merebahkan diri di atas katil.
"Aduh gatalnya! Miang rasanya. Apakah benda ini?"
"Kenapa kanda?" tanya Bawang Merah terperanjat.
"Apa yang adinda tabur di tempat tidur kanda ini?"
"Dinda tabur miang buluh untuk mengeratkan lagi ikatan kasih sayang
kita berdua."
"Dinda, dinda! Kenapalah dinda bodoh sangat!" keluh baginda sultan.
Di hari lain pula, Mak Bawang Putih masuk lagi ke bilik Bawang Merah
untuk menghasut.
"Bagaimanakah miang buluh yang makcik suruh engkau tabur itu?"
"Saya telah lakukan dan nampaknya baginda murka juga tetapi tidak berpanjagan."
"Ini menandakan yang petua ini mulai berjaya kerana kalau baginda
betul-betul murka, tentu dihalaunya engkau," kata Mak Bawang Putih.
"Ada sejenis lagi ubat kasih sayang yang engkau mesti lakukan terhadap
baginda."
"Saya tidak mahu lagi makcik. Saya takut baginda murka!"
"Jangan jadi bodoh Bawang Merah. Selagi engkau tidak lakukan yang ini,
kasih sayang engkau tidak akan berpanjangan."
Mak Bawang Putih berbisik kepada Bawang Merah. Bawang Merah
terperanjat mendengarnya.
"Tidak makcik! Saya tidak mahu melakukannya!"
Mak Bawang Putih terus juga memujuk. Akhirnya Bawang Merah termakan
pujuk. Dia pun mula melakukan apa yang diajar oleh Mak Bawang Putih
itu.
Dia mengambil sebilah kapak yang tajam. Digantung hulunya di atas
palang pintu. Sebaik sahaja baginda membuka pintu, dia akan menghayun
mata kapak itu. Sudah tentu akan mengena dahi baginda.
Tidak lama lagi baginda akan masuk bilik. Bawang Merah bersedia dengan
kapak yang tergantung itu. Baginda pun masuk. Kapak dihayun.
"Aduh kenapa ini dinda?" baginda berteriak kesakitan.
"Kanda!" Bawang Merah menerkam. Darah keluar dari dahi baginda akibat
terkena mata kapak.
"Apakah yang dinda lakukan ini?" tanya baginda kehairanan.
"Untuk mengekalkan hubungan kasih sayang kita berdua!"
"Siapa yang mengajar semua ini?"
"Mm..Mm..Mak Bawang Putih."
Mak Bawang Putih disuruh menghadap baginda. Oleh kerana niat jahatnya
itu masih tidak dihentikan, baginda menghalau Mak Bawang Putih dan
anaknya Bawang Putih keluar dari istana.
Maka dari itu terpaksalah mereka berdua bekerja semula untuk menyara
hidup mereka.