Wednesday, March 16, 2011

Story Time!!

Gadis merah Jambu.

Kecacatan yang dimiliki oleh Zara tidak memberi apa-apa impak dalam
kehidupannya. Walaupun kecacatan itu dilihat sebagai satu penghalang
dalam kehidupan, ia tidak membuntukan inspirasi dirinya sebagai
seorang pereka fesyen yang berjaya.

Idea dan kreativiti yang dimiliki diaplikasikan dalam rekaan gaun-gaun
anggun di butik itu. Zara sering menyendiri di bilik kecil di sebuah
pejabat yang gah namanya. Namun, kerana kualiti dan bakat dirinya
sebagai seorang pereka menjadikan dirinya begitu berharga kepada
syarikat Maya Brindal Sdn Bhd di kota Kuala Lumpur.

Berselindung di sebalik selendang putih, Zara menutup pipinya yang
berparut kesan cuka getah yang dilemparkan oleh ibunya atas marah yang
tidak terhingga kepada bapanya yang curang. Bapanya meninggal dunia
kerana kesan asid yang hampir melecur di seluruh tubuhnya.

Zara menjadi yatim piatu apabila hukuman mahkamah menjatuhkan ibunya
bersalah dan dihukum mati kerana membunuh dengan niat. Kecelaruan
hidup akibat peristiwa tersebut, Mak Su Rina yang bersimpati membawa
Zara ke kota gah itu. Menghantarnya ke sekolah menjahit hingga ke
peringkat profesional dan sehingga dia bekerja di Maya Brindal Sdn
Bhd.


Butik itu dahulunya dimiliki oleh Mak Su Rina namun hutang yang
berlambak menjadikan butik milik Mak Su bertukar tangan dengan Aunty
Zetty yang penuh dengan tipu helah. Kekecewaan Mak Su Rina bertambah
apabila setiap rekaan di butik itu turut menjadi hak mutlak Aunty
Zetty.

Keayuan Zara sebenarnya hanya berselindung di atas kecacatan yang
dimiliki. Jika dilihat dirinya yang sebenar dia layak malah boleh
menandingi model yang selalu mengunjungi butik itu untuk memperagakan
gaun rekaannya. Hanya parut di wajah menutup kecantikan yang dimiliki
oleh Zara.

Namun Aunty Zetty buta menilai kerana dia hanya melihat kecacatan
wajah Zara. Keangkuhan dan sikap bongkak Aunty Zetty mengubah namanya
kepada panggilan 'Jelik' yang meniti di bibir Aunty Zetty tiap hari.
'Jelik' adalah panggilan yang sesuai bagi Zara dan sebagai seorang
tukang jahit, katanya. Tidak layak bertemu sesiapa dan Aunty Zetty
yang jahat mengaku itu semua adalah idea dan rekaan hasil inspirasinya
sebagai tuan punya butik terkenal itu.

Kehalusan dan rekaan yang sentiasa berkembang mengikut trend masa kini
menarik minat seorang wartawan iaitu Badri Shah untuk membuka rahsia
rekaan yang menjadi bualan pereka-pereka terkenal. Mana tidaknya,
butik itu sentiasa menerima kunjungan model, pelakon malah sentiasa
menjadi penaja pakaian kepada majalah-majalah terkenal.

Badri mengunjungi butik itu dan diberi kepercayaan oleh Aunty Zetty
untuk berada di butik itu untuk tujuan promosi. Yang menjadi
kehairanan Badri adalah rekaan yang selalu digahkan oleh Aunty Zetty
itu sebenarnya menjadi tanda tanya. Ini diperakui oleh sepupu Badri,
Laila yang memenangi hadiah untuk mengikuti kursus di butik itu
setelah membeli sehelai gaun eksklusif.

Aunty Zetty hanya muncul sewaktu penyampaian sijil, tidak seperti yang
sering digembar-gemburkan Aunty Zetty yang akan mengajar menjahit
malah mereka gaun di butik itu.

Namun sepanjang bengkel kursus itu, hanya dilihat wanita berselendang
putih yang dipanggil oleh Aunty Zetty, Si Jelik untuk mengajar malah
mereka rekaan gaun-gaun yang mengagumkan. Sepanjang bengkel itu, Si
Jelik mereka rekaan yang begitu hebat malah hasil jahitannya sama
dengan kepunyaan Aunty Zetty.

Yang menjadi tanda tanya adalah setiap kali ada pengunjung yang
mengunjungi bengkel itu, Si Jelik akan berlari ke dalam bilik kecil
dan Aunty Zetty akan berpura-pura mengajar dan menjahit gaun-gaun itu
kepada Laila. Setelah mengikuti kursus itu, Laila memberitahu Badri
supaya membongkar rahsia di sebalik Maya Brindal Sdn Bhd.

Kedatangan Badri ke Maya Brindal disambut baik Aunty Zetty apabila
Badri memberitahu bahawa promosi yang dibuat untuk Maya Brindal kali
ini dibuat secara besar-besaran. Namun di sebalik promosi ini, Badri
cuba membongkar rahsia di sebalik kejayaan Maya Brindal. Sewaktu Badri
tiba di butik itu, Badri terpandang seorang wanita berbaju kurung ungu
dan berselendang putih dan berambut panjang. Malangnya wajahnya tidak
kelihatan.

Badri teringat kata-kata Laila yang mengatakan wanita berselendang
putih itu adalah Si Jelik. Dia sentiasa ada di butik dan tempatnya di
sebuah bilik kecil. Wanita itu hanya akan muncul sekali-sekala di
butik itu. Aunty Zetty mengeluarkan koleksi rekaan-rekaannya. Amat
mengagumkan kerana semuanya tampak eksklusif.

Namun apabila teringat kata-kata Laila perasaannya menjadi sedikit
curiga. Badri membelek-belek koleksi setiap gaun itu. Didapatinya
setiap gaun itu tertulis perkataan "Zz" yang menunjukkan ia direka
khas bagi seseorang pereka. Namun jika diteliti secara luarannya ia
sangat berkait dengan nama Aunty Zetty yang memungkinkan rekaan itu
sah miliknya.

Sewaktu Badri membelek setiap koleksi gaun-gaun itu terpandang olehnya
seorang wanita membawa sehelai gaun hitam. Badri cuba menegurnya.
Wanita itu hanya merenungnya di sebalik selendang putihnya.

Badri terkesima kerana lirikan matanya begitu cantik. Kenapa ia
menutupi wajahnya dengan selendang itu? Siapa wanita yang membawa gaun
hitam itu?

Sewaktu Badri mahu membuntuti wanita tersebut, tiba-tiba muncul Aunty
Zetty. Hasratnya terbantut di situ. Dia menyibukkan dirinya dengan
berpura-pura mengambil gambar. Dan dilihat ketika itu, Aunty Zetty
berjalan menuju ke lorong belakang di mana wanita berselendang itu
pergi. Dengan perlahan-lahan Badri mengekori dan tiba-tiba dia
terdengar perbualan Aunty Zetty dengan seseorang.

Mereka seperti berbuat perjanjian hak milik rekaan. Terdengar herdikan
kuat Aunty Zetty kepada seseorang yang dipanggil Si Jelik. Di situ
Badri terus mengambil kamera dan merekod setiap perbualan mereka. Kini
Badri mengetahui kebenaran yang diperkatakan oleh Laila. Badri perlu
membongkar rahsia Maya Brindal. Apa kaitan Si Jelik dan Aunty Zetty?
Dan apa kaitan "Zz" di setiap rekaan itu?

Petang itu seperti biasa Zara menemui Mak Su Rina. Kali ini
kedatangannya diberi sesuatu oleh Mak Su Rina. Sekeping kad yang
tertulis sebuah klinik perubatan. Mak Su menyuruh Zara menemui doktor
yang tercatat di dalam kad yang diberikan.

Rupa-rupanya Mak Su telah mengaturkan pembedahan kecil untuk merawat
kecacatan di pipi Zara. Zara terdiam namun untuk meneruskan hasrat
hatinya dan impiannya untuk merampas kembali butik tersebut, dia
bersetuju dengan rancangan Mak Su Rina.

Rekaan terakhir gaun hitam telah diserahkan kepada Aunty Zetty awal
pagi tadi. Kesemua koleksi rekaannya akan diperagakan oleh model-model
terkemuka berikutan promosi besar-besaran untuk tahun ini. Jadi waktu
ini, Zara tidak diperlukan di butik itu.

Rancangan bersama Mak Su Rina perlu diteruskan. Mak Su Rina mahukan
selepas pembedahan itu, Zara tetap perlu menyorokkan wajahnya dengan
selendang dan mekap khas bagi memastikan Aunty Zetty percaya yang dia
adalah Si Jelik yang sering diperkatakan.

Seminggu berlalu, pembedahan yang diaturkan berjalan lancar. Zara
kembali ke butik bilik kecil miliknya. Malangnya, sewaktu dia tiba di
bilik kecil di butik itu, semua koleksi rekaan yang asli telah tiada.
Ia telah dicuri oleh seseorang. Setiap rekaan yang dibuat itu mesti
telah diambil oleh Aunty Zetty, pada fikirannya.

Ketika itu dia mahu berjumpa dengan Aunty Zetty namun apabila teringat
akan rancangannya dengan Mak Su Rina dia membatalkan hasratnya.
Rancangannya supaya dia muncul di pentas peragaan pada malam promosi
itu dengan gaun rekaannya. Dia mahu melakukan kejutan dengan wajah
barunya nanti. Dia mahukan hasil titik peluhnya diketahui umum bukan
dieksploitasi oleh Aunty Zetty. Dia mahu membantu Mak Su Rina untuk
mendapatkan kembali butiknya yang telah ditipu oleh Aunty Zetty.

Badri menarik nafas lega ketika dia berjaya membawa keluar rekaan
milik Si Jelik. Dia cuba membongkar rahsia rekaan itu. Dia menukar
setiap nama rakaman yang akan ditayangkan pada malam promosi itu
dengan bantuan Laila. Ini akan memberikan kejutan kepada Aunty Zetty.
Badri yakin bahawa rekaan itu adalah hak milik Si Jelik. Ini terbukti
kerana setiap rekaan yang dibuat oleh pemiliknya disimpan di dalam
fail koleksi rekaan "Zz".

Sewaktu membelek koleksi rekaan itu, sekeping gambar terjatuh dan
dilihatnya gambar seorang gadis yang cantik namun ditutupi dengan
kecacatan di pipinya. Badri terdiam melihatnya. Adakah wanita itu Si
Jelik?

Persiapan untuk malam promosi itu perlu berjalan lancar seperti yang
dirancangkan. Namun Badri perlu berjumpa dengan Si Jelik. Dia perlu
menolong Si Jelik. Hanya kerana jelingan Si Jelik, Badri jatuh cinta.
Jatuh cinta dengan keayuan yang diselindung di sebalik selendang putih
itu. Jatuh cinta dengan kesungguhan dan keunikan rekaan Si Jelik.

Seperti yang telah dirancangkan, Badri berharap malam promosi itu akan
berjalan lancar. Begitu juga dengan Zara. Malam ini tiada lagi Si
Jelik yang sering disebut oleh Aunty Zetty. Yang akan muncul hanya
Zara Zaireen.

Petang itu, Aunty Zetty mencari Si Jelik namun hampa. Yang ditemui di
bilik Si Jelik hanyalah selendang putih. Aunty Zetty tidak
mempedulikan Si Jelik lagi kerana malam ini adalah hari paling
bersejarah bagi dia dan Maya Brindal Sdn Bhd. Dia mengunci bilik Si
Jelik dan dia tahu Si Jelik tidak akan kembali ke situ untuk menuntut
hak rekaannya.

Baginya, Si Jelik sama bodoh seperti Rina. Badri berjalan menuju ke
bilik kecil Si Jelik. Namun didapati pintu bilik itu telah dikunci
dari luar. Dia cuba mengetuk jika Si Jelik ada di bilik itu namun
hampa. Sewaktu dia berjalan keluar dia terdengar tangisan kecil. Dia
mendekati wanita tersebut. Badri terkejut apabila wanita itu berpaling
ke arahnya. Ada parut wajah yang mengerikan dan wanita itu terus lari
meninggalkan Badri.

Malam promosi itu berjalan dengan baik. Acara yang ditunggu adalah
model-model terkenal akan memperagakan gaun rekaan daripada Maya
Brindal Sdn Bhd. Setiap rekaan begitu hebat dan mendapat tepukan
gemuruh daripada pelbagai pihak. Media membuat liputan meluas ke atas
promosi yang dibuat secara besar-besaran itu.

Zara ketika itu telah bersama-sama dengan model-model yang akan
memperagakan gaun-gaun tersebut. Zara telah bersiap sedia dengan gaun
rekaan yang telah direka khas untuk dirinya dan malam itu.

Di saat model terakhir memperagakan rekaan gaun itu, Zara dengan
bersemangat keluar memperagakan rekaannya. Dia mendapat tepukan
gemuruh. Aunty Zetty terpinga-pinga. Dia mengetahui bahawa koleksi
rekaan pada malam itu terlebih satu. Dan rekaan itu seperti dikenali
rekaannya.

Pada waktu yang sama, Badri telah menjalankan rancangannya. Pengumuman
rekaan oleh pereka sebenar membuatkan Zara terkesima. Dia berhenti di
atas pentas peragaan itu. Pada rakaman visual itu orang ramai melihat
rekaan asli yang dibuat oleh Zara. Dan ketika itu juga Badri dan Aunty
Zetty terpandang model yang berada di atas pentas itu, lirikan matanya
sama dengan Si Jelik. Aunty Zetty terduduk. Dia diserbu oleh pihak
media.

Malam itu suasana menjadi kecoh. Zara berlari meninggalkan pentas itu.
Baginya ia cukup memberi satu tamparan hebat kepada Aunty Zetty. Malam
itu, orang ramai digemparkan dengan rekaan Si Jelik. Mereka mencari
pereka sebenar namun gagal.

Badri ketika itu terdiam. Dirinya berfikir, adakah wanita selendang
putih itu Si Jelik dan Si Jelik adalah wanita berparut yang mengerikan
manakala model yang memakai gaun khas itu "Zz"?

Si Jelik dan "Zz" orang yang sama tapi berbeza? Badri cuba mencari
jawapannya. Malam itu, Aunty Zetty ditahan oleh pihak berkuasa untuk
siasatan lanjut berkaitan dengan Maya Brindal Sdn Bhd dan rekaannya.

Pagi itu, Badri datang ke Maya Brindal untuk mengambil semua
barang-barang sepanjang dia berada di situ. Sewaktu dia
berkemas-kemas, terlihat olehnya wanita berselendang putih menyorong
seorang wanita di atas kerusi roda. Dia yakin bahawa wanita itu adalah
Si Jelik, "Zz" dan juga model yang menggayakan gaun rekaan khas malam
promosi itu.

Namun semuanya masih kabur kerana dia tiada penjelasan untuk itu. Dia
berjalan perlahan-lahan dan mendekati wanita itu. Dia menegur mereka
berdua. Namun wanita itu mempercepatkan langkahnya meninggalkan Badri.

Tanpa disedari, selendang yang dipakai oleh Si Jelik ditarik oleh
Badri. Maka terlihatlah kecacatan pada pipi Zara. Zara hanya terdiam
dan meninggalkan Badri yang terpinga-pinga. Badri memerlukan kepastian
dan dia pasti itulah Si Jelik pereka Maya Brindal. Dia menahan Zara
kembali.

Dia meminta penjelasan siapa pereka sebenar di Maya Brindal Sdn Bhd.
Dan dengan berani, Badri mengatakan dia jatuh cinta dengan pandangan
pertama Zara walaupun dia tahu Zara adalah Si Jelik dan tidak seperti
mana yang diimpikan. Badri menyatakan cintanya bukan pada paras rupa
tapi kerana keunikan bakatnya malah dia menerima kekurangan Zara.

Badri bertanyakan kepada Zara siapakah model yang sama seperti wajah
Zara. Zara menyatakan bahawa model itu adalah "Zz", pereka yang
sebenarnya. Badri semakin keliru. Waktu itu, Mak Su Rina memberitahu
bahawa Badri perlu yakin akan cinta Si Jelik. Kerana cinta Si Jelik
akan menjelaskan kesemuanya!