Sunday, June 26, 2011

Story Time!!

Suara
Hati Adik


Malam telah larut. Di luar, hujan masih lebat membasahi bumi.
Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam. Aishah masih seperti
tadi. Dia menyendiri dalam kedinginan, memerhati ke arah kerlipan
cahaya neon yang berbalam didalam hujan. Jalur-jalur air yang menitis,
turun memanjang di permukaan tingkap menjadi santapan matanya.
Sesekali jemari halusnya mencorakkan tulisan dan lukisan pada wajah
cermin yang berkabus kerana cuaca yang sejuk. Waktu adik kecil-kecil
dulu, kalau hujan sahaja, pasti umi akan datang mencarinya. Pastinya
umi akan eratkan dakapan selimut tebal ketubuhnya. Tatkala guruh dan
kilat bersabung dilangit, umi tak pernah lekang mendakapnya hangat,
mencairkan ketakutan yang membeku dalam dirinya. Tiba-tiba dia disapa
rindu yang teramat. Umi, adik rindu. Aishah menarik langsir menutupi
ruang jendela. Dia merapati meja tulis, pena yang terbaring diatas
meja dicapai. Diloretkan diatas kertas kajang berwarna biru, warkah
terakhir untuk umi. Disuarakan segala yang bersarang dilubuk hati.
Rasanya, dia tak sempat menyampaikan hajat umi. Terlalu hampir rasanya
dirinya dengan noktah kehidupan.

Bahagian 1
"Adik jangan takut, umi ada sini, adik tidur baik-baik ya," kucupan
hangat dari bibir umi melekat didahinya.
Ketakutan yang beraja telah berjaya umi hambat. Dia lena dalam dakapan
kasih seorang umi. Dia lena hingga matahari mula menyuluh alam, dia
terjaga bila titis embun mula mengering dihujung daun.
"Umi tu selalu sangat manjakan adik, bila lagi dia nak berdikari?"
paginya yang ceria kembali suram tatkala mendengar kata-kata along.
Dia hanya mematikan diri di atas tangga, menanti bait-bait ayat yang
bakal dibahaskan berkenaan dirinya. "Adik tu kan kecil lagi, tak salah
umi temankan dia,"sambil sibuk menyediakan sarapan untuk abah, along,
angah dan adik, umi tetap melayan along bersembang. "Kecil apa umi,
dah tingkatan satu, dah besar," sampuk angah.
Dia perhatikan sahaja dari anak tangga, betapa along dan angah manja
dilayan abah dan umi. Rasa lapar adik hilang, terbantut langkah adik
untuk menyertai mereka.
"Adik, mari cepat, kejap lagi bas sekolah sampai," umi menggamit adik
dengan senyum manis. Langkah adik agak perlahan, adik tidak sanggup
menghadap rezeki dengan rasa benci dari orang semeja.
"Lewat lagi, hari-hari lewat, pemalas betul,dengus angah. Adik tidak
mengangkat wajah, adik takut membalas pandangan benci wajah angah.
"Sudah, makanlah cepat, tak habis-habis nak berbalah,"umi menuangkan
susu ke dalam cawan adik. Umi suakan pinggan berisi nasi goreng depan
adik. "Makan adik, nanti lapar dalam kelas,"sambil bercakap, umi usap
ubun-ubun kepala adik. Lapang rasa dada adik, sentuhan umi berjaya
mengambus kepiluan dalam jiwa adik.

Bahagian 2
Hari ni semua pelajar datang ke sekolah dengan ibu dan ayah
masing-masing. Meja di dalam kelas telah disusun ke tepi, hanya kerusi
disusun memanjang, supaya senang ibu dan ayah pelajar menanti giliran
berjumpa guru. Adik masih lagi bersendirian. Abah dan umi pergi ke
kelas along dan angah dulu. Ramai teman-teman adik yang telah pulang
dengan membawa kad laporan kemajuan masing-masing. Adik duduk
menghadap pintu masuk, dengan harapan agar abah dan umi cepat sampai.
Tinggal tiga orang sahaja lagi kawan adik menanti giliran berjumpa
dengan Cikgu Zul. Wajah adik cerah, umi yang memakai baju kurung pesak
berwarna biru laut melangkah masuk dengan senyum. Adik menerpa kearah
umi, adik salam dan cium tangan umi, macam biasa-biasa yang adik
lakukan. "Abah mana?"adik tercari-cari. Senyum umi berubah sedikit,
agak kelat. Adik dapat baca apa yang tersirat dibalik perubahan wajah
umi. "Tak apalah umi, umi datang ni pun dah cukup bersyukur bagi
adik," adik menarik tangan umi kesebuah kerusi berhampiran. Adik tak
mahu mendengar alasan umi, adik tak mahu umi berbohong, mereka-reka
alasan untuk menjaga perasaan adik. Adik tahu abah tak akan sudi
hadir, adik tahu abah tak mahu tahu apa yang tercatat dalam kad
laporan kemajuan adik. "Aishah," Cikgu Zul memanggil. Adik bangun,
berpimpin tangan dengan umi. "Anak puan ni pandai. Akademiknya bagus,
cuma dia agak kurang aktif dalam aktiviti sukan,"Cikgu Zul meneliti
report card adik. "Dia tak berapa sihat cikgu, doktor menyarankan agar
dia tak berapa aktif, sebab dia ada asma,"jelas umi, adik tahu Cikgu
Zul sudah sedia maklum tentang masalah kesihatan adik. Cikgu Zul
sekadar mengangguk. "Tahniah Aishah, awak berjaya lagi, nombor satu tu
macam kepunyaan awak seorang,"Cikgu Zul senyum, adik dan umi membalas
senyum Cikgu Zul dengan perasaan senang. "Terima kasih cikgu, ini
semua kerana dorongan guru-guru dan kerjasama kawan-kawan,"balas adik
merendah diri.
Hari itu, adik pulang sekolah awal, pulang dengan umi menaiki teksi.
Adik tengok kereta abah dah ada di dalam garaj. Adik tahu abah balik
dengan along dan angah, adik tak marah, adik lebih selesa begitu.
Asalkan ada umi, adik cukup bahagia.
"Anak manja umi dapat nombor berapa?" along menegur. Ada riak cemburu
dalam matanya. "Macam biasalah,"balas umi ceria. "Alah, nasib baik aje
tu," cebik angah pula. "Isk, jangan cakap begitu, anak-anak umikan
semuanya pandai-pandai. Along dah angah pun dapat nombor 5 ke ataskan,
umi bangga dengan semua anak umi,"umi mendekati along dan angah yang
sedang menonton televisyen. Adik tak nampak abah, mungkin berada di
dalam bilik, sedang tidur barangkali. "Umi, adik naik dulu ya," adik
lebih senang memerap dengan buku-buku di dalam bilik. Jarang sekali
adik berkumpul dengan ahli keluarga lain di ruang tamu. Adik tahu
kehadiran adik tidak dialu-alukan. "Iyalah, nanti lepas solat zuhur,
turun makan ya,"umi sempat berpesan.

Bahagian 3
Adik masuk tingkatan 3 tahun ini, along dan angah pula dah tamat
sekolah. Along berjaya menginjakkan kaki ke UPM selepas tamat STPM,
angah pula bejaya memasuki Politeknik Shah Alam, selepas mendapat
sijil SPM. Tahun ini, adik bertungkus lumus untuk menghadapi PMR. Adik
agak tenang, kerana along dan angah tiada di rumah. Adik bebas
bermanja dengan umi, adik riang duduk di setiap inci manapun ruang
dalam rumah banglo dua tingkat itu. Abah masih macam dulu, kurang
bercakap kalau bersama dengan adik, tapi adik tahu abah sayang adik.
Abah tak pernah susut menghulurkan duit belanja untuk adik. Abah
masukkan adik ke kelas tuisyen, abah hantar adik ke kelas mengaji
Quran, adik tahu, abah sayang adik. Cuma abah tidak banyak mulut kalau
bersama adik, tidak macam bersama along dan angah, abah cukup banyak
bicara. Kadangkala, adik terfikir, apa salah adik. Di mana kurangnya
adik berbanding along dan angah. Adakah kerana adik lahir dalam
suasana yang salah? Agaknya adik ni terlalu menyusahkan bagi mereka.
Adik tak mahu fikirkan sangat, kalau adik fikir banyak, kepala adik
akan sakit.
Adik rasa hari berganjak terlalu cepat, adik telah berjaya dalam spm.
9A1, umilah manusia paling gembira. Umi kucup wajah adik, umi peluk
adik kemas dalam dakapan. Umi tak sudah-sudah memanjatkan syukur
kehadrat Ilahi. Adik menangis dalam pelukan umi. Adik menangis kerana
usaha adik berhasil. Adik menangis kerana abah ucap tahniah, pertama
kali dalam hidup adik, abah tampil mengucap kalimat berharga itu.
Walau ucapan abah dalam nada agak dingin, mungkin kerana abah tak
biasa mengucapkannya, adik cukup rasa seronok. Adik seronok hingga
menitiskan air mata. Adik terlalu gembira dengan sepotong ayat dari
abah, "tahniah adik," adik cukup terharu.
Adik tak boleh bermanja-manja lagi dengan umi. Adik mendapat tawaran
menyambung pelajaran ke UUM. Adik terpaksa berjauhan dengan umi. Adik
korbankan kasih sayang adik demi memenuhi tanggungjawab adik sebagai
pelajar. Adik jarang balik kerumah. Adik tak mahu along dan angah kata
adik menghabiskan duit dengan tambang pergi balik. Adik tidak sanggup
mendengar sindiran tajam dari mereka. Tapi, adik ada alasan yang lebih
kukuh.
"Umi lebih sayangkan anak angkat dari anak sendiri,"sewaktu melintasi
bilik umi, adik terdengar along bercakap dalam nada kasar. Adik
berhenti seketika, anak angkat? Siapa anak angkat? "Umi sayang semua
anak umi sama rata. Bagi umi, adik dah umpama anak kandung umi
sendiri," sayu suara umi singgah di telinga adik. Adik hampir
terduduk, lutut adik lemah, tulang adik rasa rapuh, badan adik hampir
tidak dapat diampu lagi. "Apa yang adik nak, mesti dapat, along minta
sikit aje dari umi, semua umi kata akan bincang dengan abah," adik
benci mendengar along berkasar dengan umi. Adik tak suka hati umi
dicalari, lebih-lebih lagi kerana adik. "Umi tak ada duit sebanyak
itu, along mintalah dengan abah, umi pasti abah pasti bagi. Lagipun,
buat apa along nak pakai kereta, alongkan baru aje kerja, motor tu pun
baru lagi," adik tidak menanti lama. Adik tak mahu tahu apa yang
dibicarakan oleh umi dan along. Pokoknya sekarang, adik dah tahu
bahawa selama ini adik dicemuh kerana adik hanya anak angkat. Terusai
sudah segala persoalan di kepala adik sejak bertahun dulu. Adik tahu
kini mengapa adik tidak diterima sebagai ahli keluarga, adik mengerti
mengapa adik dilayan sebegitu rupa. Adik hanyalah anak angkat.
Patutlah adik ada sedikit perbezaan dengan along dan angah. Kulit adik
agak cerah, rambut adik pula beralun dengan warna keemasan, tidak
hitam dan lurus seperti along dan angah. Tapi umi kata, tak semestinya
adik beradik kena sama. Dalam setandan kelapa, tak semuanya sama.
Ramai lagi orang lain adik-beradik rupa tak sama. Adik percaya, adik
lupakan sahaja persoalan itu. Hari ini, adik telah mengetahui kisah
sebenar. Sampai hati umi merahsiakan dari adik. Kalau adik tahu dari
awal, adik tak akan melebih-lebih mengharap kasih umi. Adik tidak akan
bermanja dengan umi hingga along dan angah cemburu.
Umi menangis bila adik persoalkan status adik. Adik rasa berdosa buat
umi menitiskan air mata. Tapi adik perlu tahu, adik mahu segala yang
samar diperjelaskan. Adik tidak mahu hidup dalam kekeliruan. "Adik,
umi sayang adik macam anak kandung umi," umi peluk adik. Bahu adik
basah dengan air mata umi. "Adik tahu, terima kasih umi," adik turut
menangis, malang sungguh hidup adik, dah lah terbuang, hidup menumpang
pula tidak disukai orang. "Umi jumpa adik depan pintu pagar. Masa tu
umi nak pergi pasar, umi jumpa adik dalam balutan kain batik. Umi
pujuk abah, umi rayu abah agar ambil adik sebagai anak angkat,"hati
adik tersayat luka. Sampai hati ibu adik membuang adik. Dari lembah
manakah adik dilahirkan? Dari salur manakah adik tercipta? "Umi
ceritakan pada along dengan angah bila mereka dah mula faham. Umi mahu
mereka sayang adik seperti adik sendiri,". Tapi adik tak diterima, kan
umi? Adik tahu, siapalah adik, entah dari mana asal usul, entah darah
dalam badan adik ini bersih ke kotor. Adik tak salahkan along dan
angah kalau mereka membenci adik. "Adik, jangan tinggalkan umi, umi
tak boleh berpisah dengan adik,"rayuan umi membuatkan hati adik
bertambah sedih. Alangkah bahagianya adik kalau umi adalah umi kandung
adik. Bersyukur teramat adik kerana dipertemukan dengan umi, umi yang
pengasih, umi yang penyayang. "Adik janji, adik akan sayang umi, kasih
sayang adik tak akan tersukat dengan luasnya lautan, tak akan dapat
diukur dengan tingginya gunung atau banjaran,"adik cium wajah umi.

Bahagian 4
Adik meneruskan pengajian adik, matlamat adik hanya satu, adik nak
lulus. Adik nak hadiahkan kejayaan adik untuk umi. Satu-satunya insan
di muka bumi ini yang sudi mengasihi adik seikhlas-ikhlasnya. Adik
selalu diserang asma, tapi adik biarkan. Adik tidak mahu khabarkan
pada umi, adik tak mahu umi susah hati. Kepala adik pun selalu sakit,
adik diamkan juga. Bagi adik, adik sakit kepala kerana migraine,
kerana terlalu banyak membaca, kerana adik gila studi. Adik pendamkan
rasa sakit dan adik hanya akan menelan panadol, selebihnya, adik
jadikan umi sebagai penawar segala penyakit. Adik akan call umi,
bercerita dengan umi, adik akan luahkan segala rasa kasih adik atas
muka kertas, adik coretkan betapa bahagia adik di tanah Sintok ini.
Segala khabar adik adalah yang indah-indah dan baik-baik belaka. Adik
mahu umi senang hati, adik mahu umi bahagia. Adik bariskan pelbagai
alasan bila umi tanya kenapa adik tak balik bercuti. Adik senaraikan
aktiviti yang adik kena ikuti untuk menambah point permarkahan gred
adik. Umi memujuk adik untuk pulang sehari dua. Adik berjanji akan
pulang, adik akan pulang juga satu hari nanti. Umi hanya perlu tunggu.
Kesakitan adik rasanya telah meruncing. Di hari akhir peperiksaan
terakhir, adik pengsan dalam dewan peperiksaan. Adik dikejarkan ke
hospital. Adik didapati menghidap barah, peringkat akhir. Adik minta
doktor rahsiakan, adik merayu doktor agar jangan diberitakan perkara
tersebut kepada ahli keluarga. Adik akan khabarkan sendiri berita itu
pada mereka. Adik sebenarnya tak mahu umi menangis lagi. Cukuplah
tangisan umi yang lepas-lepas sewaktu mempertahankan adik di rumah
itu. Adik tak mahu umi terluka lagi. Pada umi, adik memberitahu, adik
dapat tawaran kerja yang baik di bumi Kedah. Adik akan balik bila ada
cuti, ada sendu pada suara umi. Maafkan adik umi, adik sebenarnya kena
menjadi tetamu hospital. Adik harus menjalani rawatan. Adik tak mahu
umi lihat badan adik yang susut, adik tak mahu umi menangis melihat
kesan jarum suntikan di lengan adik. Adik tak mahu melihat umi sedih.
Adik harus kuat menghadapi derita ini, kerana itu adik tak mahu
melihat derai air mata umi, kerana air mata umi hanya akan merobohkan
kekuatan adik.

Bahagian 5
Assalamualaikum,
Buat tatapan umi yang tercinta,
Umi, terlebih dahulu, ampunkan adik kerana tidak dapat berjumpa dengan
umi seperti yang umi hajatkan. Adik tetap pulang, cuma pulang dengan
jasad, tanpa roh dan nyawa. Kesatlah air mata tu umi, adik tak tahan
tengok umi menangis. Umi sayang adikkan, umi jangan marah adik kerana
tidak pulang ke pangkuan umi dengan segera.
Umi, maafkan adik kerana tidak memberitahu perkara sebenar dari awal.
Adik tak mahu, dengan pendedahan penderitaan penyakit ini, along dan
angah akan menuduh adik sengaja memancing perhatian abah dan umi.
Umi, adik terlalu rindukan umi. Adik rindu kucupan hangat umi, adik
rindu untuk tidur dalam dakapan kasih umi. Adik rindu untuk menatap
wajah bersih umi, senyum manis umi, adik rindu belaian lembut umi.
Umi, adik sakit. Adik terlalu derita, umi. Perit umi, adik dah tak
tahan lagi. Ubat yang doktor bagi pahit, tak seenak masakan umi, tak
sesedap kuih tepung pelita kegemaran adik yang umi selalu buatkan.
Pagi tadi, adik pergi hospital lagi, doktor beri adik suntikan, hancur
lengan adik dengan tosokan jarum, umi. Adik ingin menangis, adik ingin
merayu kepada doktor agar jangan cucuk tubuh badan adik. Adik tak
sanggup lagi. Telah bertiub darah dari urat adik doktor ambil. Kalau
masa kecil dulu, umi ada untuk tuamkan lebam di lengan adik, kini adik
sendiri, menghadapi segalanya seorang. Memang patut pun begitukan umi,
bukankah adik sebenarnya hanya sendirian dimuka bumi ini. Bukankah
dari awal lagi adik telah terbuang, adik tidak diterima sesiapa.
Umi, adik ingin meminta pertolongan umi. Adik tahu, hanya pada umi
adik dapat hamparkan secebis harapan. Adik tak punya sesiapa, adik
hanya ada umi. Satu-satunya insan yang adik sayang, yang adik kasih
dan adik junjung cinta hingga kehujung nyawa adik.
Umi, minta adik, sampaikanlah salam adik, salam penuh kasih sayang,
salam yang sarat dengan penghargaan dan terima kasih, buat abah, along
dan angah.
Umi, khabarkan pada mereka, adik terlalu kasihkan mereka. Beritakan
pada mereka, adik tidak pernah menyimpan sebarang dendam atau rasa
marah dihujung hati ini terhadap mereka. Yang ada dalam hati adik,
hanya rasa kasih, sayang dan cinta yang tak pernah padam walaupun
telah ditiup dengan pelbagai tohmahan, tuduhan, hinaan dan kebencian.
Adik tetap anak umi yang umi susukan sejak kecil, adik tetap adik yang
pemaaf, pengasih dan penyayang.
Umi, jelaskan pada mereka, adik telah ampunkan segala ketelanjuran
mereka, samada bicara atau perbuatan mereka terhadap adik. Adik faham,
kehadiran adik telah merampas kemakmuran dan kebahagiaan mereka. Adik
mengerti, perbuatan mereka didorong rasa terancam dengan kehadiran
adik.
Umi, katakan pada abah, adik terlalu menghormatinya. Tanpa abah adik
tak akan belajar sampai pandai. Cuma, adik tak sempat menghadiri
konvokesyen, adik tak sempat mendengar ucapan yang teramat adik rindu
dari bibir abah, "tahniah adik". Adik harap abah akan tetap ucapkan
tahniah, walau tanpa adik didepan abah. Tanpa abah, adik tidak mampu
berdikari diatas kaki sendiri. Hulurkan salam peluk cium dari adik
untuk abah. Sujud sembah ampun adik untuk abah, rayulah bagi pihak
adik umi, agar abah halalkan segala makan, minum dan perbelanjaan abah
dalam membesarkan adik.
Umi, adik terlalu sakit umi. Setiap hari adik pohon dalam doa, agar
Allah leraikan penderitaan ini. Adik tak lupa juga panjatkan dalam doa
adik, agar Allah pelihara umi, abah, along dan angah. Adik minta Allah
berkati hidup kita sekeluarga. Adik memohon agar andai nyawa yang
dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau
hanya sepotong ayat Al-Quran untuk adik. Rayu adik pada umi,
hadiahkanlah surah Yassin untuk adik. Mesti adik akan senyum, adik
pasti bahagia walau adik pergi dalam derita yang teramat. Adik suka
dengar suara umi melagukan bacaan Al-Quran. Adik tenang mendengar
setiap kalimah yang umi baca. Adik akan terus rindukan suara umi yang
lemak merdu itu. Tolong ya umi, sampaikan pada abah, along dan angah,
hadiahkanlah adik bacaan Yassin, adik tak minta banyak. Tak perlu
keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje adik minta,
minta dengan penuh harap, hadiahkan lah adik dengan sesuatu yang adik
suka.
Umi, adik rasa Allah sayangkan adik. Mungkin hari ini, Allah akan
makbulkan doa adik. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita adik.
Allah akan mansuhkan penyakit adik umi. Adik pernah bermohon, andai
kematian adalah pengakhiran derita ini, adik sedia menerima. Adik
sedia pergi dulu walaupun usia adik masih muda. Adik sedia
meninggalkan muka bumi ini walaupun adik masih belum puas bermanja
dengan umi. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian adik
nanti. Yang adik pasti, hanya umi seorang yang akan merasa kehilangan
adik. Umi seorang yang akan bersedih dengan pemergian adik. Tapi, adik
yakin, sedih umi hanya sekejap. Kepiluan umi akan terubat dengan
adanya abah, dengan kehadiran along dan angah dalam hidup umi.
Pastinya warna kehidupan umi indah, ceria walau tanpa adik.
Umi, di pengakhiran warkah ini, adik dengan rasa rendah diri, dengan
penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari umi. Adik pinta halalkan
seawal titis susu yang umi suapkan hinggalah segala apa yang adik
makan atau minum. Setiap kelakuan adik, setiap kesilapan, pinta adik,
ampunkanlah. Rayu adik pada umi, sayangilah adik walau adik telah
tiada. Pada abah, along dan angah jua, maaf adik pinta, dari hujung
bilah rambut hingga kehujung jari kaki, sepuluh jari adik susun,
relakan pemergian adik. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan
rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu,
yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada
umi dan abah kerana sudi mengasuh adik, walaupun ibu kandung adik
sendiri menolak kehadiran adik dibumi ini. Hanya Allah yang akan
membalas jasa umi dan abah. Adik redha dengan ketentuan yang
diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi.
Umi, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap
wajah umi sebelum adik berangkat. Teringin sangat adik mendakap tubuh
umi, mencium seluruh wajah umi. Izinkan umi, adik mengucup tangan dan
wajah umi dalam khayalan.
Umi, abah, along dan angah, adik minta izin untuk pergi. Lambaian
akhir ini, adik harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad
adik dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan
adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah adik dengan
doa agar adik tidak dicampak kedalam relung panas menyambar,
InsyaAllah.
Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk umi tersayang, abah, along
dan angah terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi.
Assalamualaikum.

-suara hati adik-
Nur Aishah Abdullah.

Bahagian 6
Air mata umi luruh, laju membasahi seluruh wajah. Umi kesal, kerana
tidak dapat mendakap Aishah. Umi tak dapat penuhi impian dan
permintaan terakhir adik, anak umi yang amat jarang membuat
permintaan.
Abah hanya kaku di sisi umi, air mata abah yang mengalir, telah
membuktikan yang abah turut terasa pemergian Aishah. Tapi abah tau,
abah telah terlewat. Kali ini, adik pergi bukan dekat, kalau ke hujung
dunia pun adik membawa diri, abah masih boleh mencari, boleh memujuk
agar adik pulang kerumah, tapi, perjalanan adik kali ini jauh, terlalu
jauh untuk abah jejak. Penyesalan abah tidak berguna. Abah menyesal
hanya setelah adik tiada, abah terjaga hanya setelah mendengar suara
hati adik.
Along dan angah turut menangis. Mereka kesal, hati selembut dan sebaik
adik tidak sepatutnya dirobekkan. Adik tidak pernah mengharapkan
apa-apa, mahalkah harga sebuah kasih sayang?
Jenazah adik yang baru tiba, umi mandikan, umi kapankan. Umi bersihkan
seluruh tubuh adik, penuh kasih, umi cium ubun-ubun adik. Itulah
kucupan terakhir umi. Umi tahu adik dapat merasa kasih sayang yang
keluar dari seluruh hati, urat dan jantung umi. Umi mahu adik tahu umi
terlalu kasihkan adik, walau adik bukan lahir dari rahim umi. Adik,
Nur Aishah Abdullah, adalah anak umi dunia akhirat. Khidmat terakhir
umi untuk adik telah umi laksanakan. Umi sedekahkan bacaan Surah
Yassin sepeti yang adik minta, walau tidak dimintapun, umi tetap akan
lagukan bacaan itu untuk adik. Umi ingin adik ditempatkan di dalam
syurga bersama dengan anak-anak solehah yang lain. Umi iringi
pemergian adik kepusara aman dengan pandangan mata yang masih berkaca.
Bibir umi terkumat-kamit beristighfar, memujuk hati agar tidak
menangis. Umi tak mahu adik melihat umi menangis, umi mahu adik pergi
dengan tenang. Adik, umi sayang adik, sebagaimana dalamnya kasih
sayang adik buat umi.