Sunday, June 12, 2011

Story Time!!

Kerana Cinta

Zairin memutuskan talian. Keluhan berat dilepaskan tatkala
mengingatkan Iffah, kekasihnya. Dia memandang ke dada langit dari
birai tabir. Kemudian pandangan dialihkan ke telefon bimbit di
genggaman. Kirana, gadis yang baru dikenalinya benar-benar membuatkan
dia dihantui rasa bersalah. Rasa bersalah terhadap Iffah kerana
menduakannya, dan rasa bersalah terhadap Kirana kerana tidak pernah
berterus-terang dengan gadis itu tentang kedudukan dirinya yang
sebenar. Zairin tersepit, di antara rasa simpati yang bersisa dengan
keinginannya sebagai lelaki yang dahagakan cinta. Dia akui, dia masih
sayangkan Iffah, namun perasaan itu semakin pudar kerana masanya sudah
terlalu lama. Mereka sudah bersama semenjak lima tahun yang lalu namun
hubungan itu tetap begitu. Iffah seorang yang lemah lembut, ceria
namun tidak selincah Kirana. Keinginan Zairin bagaikan dicabar ketika
perkenalannya dengan Kirana lebih kurang sebulan yang lalu. Kirana
seorang gadis yang cukup sempurna paras rupanya, sangat berkeyakinan,
dan sangat pandai mengambil hatinya. Tidak dinafikan Iffah juga
seorang yang pandai mengambil hati, namun Zairin bagaikan sudah muak
dengan sikap Iffah yang terlalu workaholic dan tidak memahami
kehendaknya sebagai seorang lelaki. Zairin melepaskan lagi keluhan di
dadanya. Beberapa pesanan ringkas daripada Kirana tidak mampu dibalas
lagi. Zairin tidak mahu memberi harapan lagi pada gadis kolej itu. Dia
lantas meletakkan kepala di atas bantal dan merenung bingkai gambar di
meja katil. Iffah, maafkan saya. Hati kecil Zairin berbisik, lalu
matanya dipejam rapat.

Kirana berang. Dia melihat telefon bimbitnya di sisi bantal, tiada
satu pun pesanan ringkas mahupun miss call daripada lelaki yang baru
dikenalinya, Zairin. Janji semalam nak call! Bentak hatinya bila
teringatkan janji Zairin untuk menghubunginya pagi itu. Kirana
merenung komputer di atas meja, melihat perkembangan terbaru di dalam
rangkaian sosial paling popular, Facebook. Dia mengetap bibirnya yang
mekar lalu menekan kasar butang tetikus di tangan kanannya. Zairin
tidak online ketika itu, membuatkan Kirana bertambah geram. Dia lantas
ke bilik mandi untuk bersiap ke kuliah sebentar lagi.

Iffah tersenyum riang. Zairin akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini
setelah lebih tiga bulan di Kota Singa melaksanakan tugasnya sebagai
penyunting televisyen dan filem. Hari ini dia sangat gembira sehingga
seluruh pejabat mendapat sarapan pagi percuma darinya. Iffah
membungkus nasi lemak lebih 15 bungkus untuk dikongsikan kepada staff
pejabatnya dek terlalu gembira dan teruja menanti kepulangan buah
hatinya, Zairin.

"Amboi, kalau hari-hari Zairin pergi Singapore kan bagus, lepas tu
hari-hari balik KL, dapatlah kitorang breakfast free hari-hari" Iffah
disapa teman sepejabatnya, Atika. Selorohnya disambut beberapa lagi
staff yang lain tanda setuju. Iffah ketawa kecil. Dia tersenyum sambil
hatinya tidak sabar menunggu petang. Zairin berjanji untuk
menjemputnya di pejabat dan mereka akan keluar makan malam bersama.

Tugas sebagai seorang penyunting televisyen dan filem bukanlah tugas
yang mudah. Zairin terpaksa ke sana ke mari untuk melaksanakan sesuatu
projek yang diserahkan kepadanya. Tambahan pula apabila bekerja
sendiri (freelancer), Zairin tidak boleh mengikut kerenahnya sahaja.
Projek yang diberikan padanya dianggap sebagai tanggungjawab dan
kepuasan pelanggan adalah keutamaan. Jika Zairin menyudahkan kerja
dengan sambil lewa, bimbang orang tidak mahu mengambilnya lagi sebagai
penyunting. Jadual tidur Zairin juga tidak menentu, kadang kala dia
terpaksa bersengkang mata di tengah malam semata-mata ingin menyiapkan
sesuatu tugas. Masa yang diberikan kadang kala terlalu singkat, namun
Zairin tidak punya pilihan, dia terpaksa menerima tugas tersebut demi
menambah pendapatan. Zairin bukanlah gila kerja seperti kekasihnya
Iffah, namun dia seorang yang gigih dalam melaksanakan sesuatu tugas.
Komitmen yang diberikan terhadap tugasnya kadang kala melebihi 200%.
Namun inilah yang dikatakan cabaran, Zairin tidak mungkin mengalah.
Tugas penyunting sememangnya bidang yang amat diminatinya, jadi tidak
ada alasan untuknya mengaku kalah.

Iffah pula memegang jawatan sebagai pegawai pemasaran yang sangat
disegani di sebuah syarikat barangan kulit yang terkenal di negara
ini. Tugas pegawai pemasaran di syarikat barangan kulit bukan juga
satu tugas yang mudah bagi Iffah. Dia begitu komited terhadap tugasnya
kerana selain jawatan pegawai pemasaran itu sendiri, barangan kulit
juga merupakan antara keghairahan utama Iffah yang sangat mementingkan
penampilan diri. Dia amat mementingkan produk kecantikan, beg tangan,
kasut, dan jenama pakaiannya. Walaupun memiliki bentuk tubuh yang
biasa dan wajah yang tidak secantik Maya Karin, namun obsesinya
terhadap penampilan diri terlalu tinggi. Iffah sanggup menyimpan duit
setiap bulan semata-mata ingin mendapatkan beg tangan Chanel edisi
terhad yang berharga puluhan ribu ringgit. Ada orang sanggup
berhabisan pada sebuah kereta, ada orang suka menghabiskan gaji semata
untuk mengembara, namun bagi iffah, beg tangan adalah keghairahannya
yang tidak ternilai. Bayangkan pump shoes yang hanya beberapa kali
sahaja dipakai berharga RM3000, apatah lagi kasut-kasut lain yang
sering dipakai. Iffah juga seorang pengendali blog atau lebih dikenali
sebagai blogger yang mengetengahkan fesyen dan kecantikan sebagai
topik utama blognya. Namun, kisah kehidupan seharian juga sering
dikongsikan kepada pengikutnya yang kini telah mencecah ratusan orang.
Bukan senang orang biasa hendak mempunyai pengikut seramai itu. Namun,
blognya juga agak popular kerana selain fesyen dan kecantikan, Iffah
juga berniaga pakaian terpakai miliknya.

Kirana merupakan mahasiswa di salah sebuah universiti swasta di ibu
kota. Dia merupakan pelajar tahun akhir di dalam bidang Social Work
dan bakal bergraduat pada penghujung tahun 2011. Kirana seorang gadis
yang ceria dan mempunyai ramai peminat di universitinya. Bukan sahaja
kerana rupa parasnya, tetapi dia juga disanjungi ramai kerana sifatnya
yang ramah dan sangat aktif dalam pelbagai aktiviti universiti. Kirana
menjadi contoh ikutan kepada junior-juniornya kerana keterbukaannya
dalam pelbagai isu dan sifat moderate leader yang dikagumi. Walaupun
Kirana aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, namun dia juga
seorang gadis yang pandai bersosial di luar. Kirana bukan jenis
pelajar anti-sosial, dia bijak meletakkan dirinya dalam pelbagai
keadaan dan suasana. Kerana itulah ramai menggelarnya sebagai moderate
leader iaitu pemimpin yang boleh bekerja dan dalam masa yang sama,
boleh juga bermain. Walaupun tidak ada apa yang perlu dibanggakan
dengan aktiviti sosialnya di luar kampus, Kirana inginkan ruang untuk
dirinya dan dia mahu orang di sekelilingnya tahu bahawa dia bukanlah
malaikat. Dia juga gadis biasa yang berhibur di kelab malam bersama
teman-teman, namun batasan tetap dijaga. Kirana sungguh bijak
membahagikan antara kerja dan peribadi, itulah yang disenangi semua.

Perkenalan dengan Kirana lebih kurang sebulan lalu semasa outstation
di Singapura membuatkan Zairin masih gagal bernafas dengan sempurna
setiap kali terkenangkan peristiwa itu. Masih segar di ingatan, saat
gadis secantik model itu menegurnya untuk meminta bantuan mengambil
gambar, Zairin terpana seketika melihat lesung pipit gadis itu yang
tenggelam dalam pipinya yang gebu.

"Hai, boleh tak you tolong ambilkan gambar kami? Thank you." Zairin
senyum sambil memetik kamera milik Kirana. Dia melihat setiap
pergerakan Kirana yang manja dan ceria melalui lensa kamera.
Membuatkan Zairin tidak lepas-lepas tersenyum. "Cantik" bisik hatinya.

"Thanks ya, by the way, I'm Kirana" Kirana menghulurkan tangan lalu
Zairin menyambutnya.

"Zairin" Balas Zairin pendek. Kirana masih tidak melepaskan tangannya,
membuatkan jantung Zairin berdegup kencang. Mata mereka bertemu buat
seketika.

"Manis" Kirana bersuara membuatkan genggaman terlepas. Zairin terkejut
lalu mengerutkan dahinya. Kirana ketawa kecil.

"I kata, senyuman you manis. Nak boleh?" Kirana berseloroh sambil
merenung tepat ke mata Zairin, membuatkan Zairin tersenyum kembali.
Kirana ketawa lagi.

"Sure, ambiklah" Jawab Zairin selamba. Kirana ketawa lalu menepuk
manja bahu Zairin dan mencubit pipi lelaki itu.

"I have to go, nice to meet you. Bye!" Kirana ketawa kecil sambil berlalu.

"No, Kirana!" Zairin memanggil Kirana selepas beberapa langkah gadis
itu meninggalkannya. Kirana menoleh sambil tersenyum, "Happy
Birthday." Kirana melambaikan tangannya pada Zairin, dan apa yang
Zairin perasan, telefon bimbitnya berada di tangan Kirana dan telefon
Kirana berada di tangannya. Zairin keliru, apa yang berlaku tadi?
Tiba-tiba Zairin tersenyum, rupa-rupanya semasa Kirana mengambil
kameranya semula, dia meminta Zairin memegang telefon bimbitnya
sebentar, tetapi selepas itu, Zairin tersalah pulang telefon bimbitnya
kepada Kirana. Mungkin kerana terlalu asyik melihat senyuman Kirana
yang comel itu.

Kirana kekok membelek iPhone milik Zairin. Dia tidak begitu mahir
menggunakan smart phone jenama Apple itu. Lalu dibiarkan sahaja,
menunggu Zairin sendiri menghubunginya menggunakan Blackberry Torch
miliknya. Tiba-tiba iPhone milik Zairin berdering, terlihat nombor
yang tertera membuatkan Kirana teruja. Kirana segera menjawab dengan
nada yang riang.

"Hey, finally you called! Lama I tunggu tau." Kedengaran Zairin
berdehem di hujung talian. Kirana tersenyum mendengarkan kegugupan
Zairin.

"Sorry, sebenarnya I pun tunggu you call. Tapi baru I teringat, I
belum bayar bill. Hehe." Kata-kata Zairin membuatkan Kirana tergelak
besar. Dia tidak menyangka bahawa Zairin juga sebenarnya sedang
menunggunya. Lebih melucukan apabila Zairin menyangka bahawa dia tidak
menghubunginya kerana Zairin belum membayar bill, sedangkan sebenarnya
dia tidak pandai menggodek telefon milik Zairin itu!

"By the way, mana you tahu hari ni birthday I?" Zairin bersuara lagi.

"Haha, sorry ter-stalk Facebook you tadi. Masa I pegang handphone you
tadi, you tak tutup Facebook you lagi. I tengok ramai wish birthday
kat wall you. Hehe." Kirana ketawa kecil.

Semenjak perkenalan itu, mereka sering berhubung melalui telefon dan
juga Facebook. Walaupun sehingga Kirana pulang ke tanah air selepas
puas bercuti di Singapura, mereka masih terus berhubung. Dan hubungan
itu menjadi semakin serius apabila masing-masing masih tidak dimiliki
sesiapa. Zairin tidak dapat mengelak daripada berbohong kerana jika
dia berterus-terang tentang hubungannya dengan Iffah, dia bimbang
Kirana tidak akan menerimanya seperti sekarang. Zairin akui dia tidak
mahu kehilangan Kirana walaupun mereka baru sahaja mengenali satu sama
lain.

"Kenapa awak banyak termenung ya sekarang?" Iffah memulakan perbualan
apabila makan malam yang disangkakan pengubat rindu itu menjadi
tertalu senyap dan kekok. Zairin melihat ke arah Iffah lalu menyambung
suapan kembali. Lamunannya tentang Kirana segera mati. Iffah menjadi
tidak selesa dan tidak sedap hati. Dia kemudian memandang aiskrim yang
dipesan telah mula cair kerana tidak disentuh sejak tadi.

"Kenapa tak makan lagi aiskrim tu? Dah cair tak sedap" Tegur Iffah
menukar topik perbualan. Zairin tidak menjawab namun hanya meneruskan
kunyahan sambil cuba melupakan Kirana dalam ingatannya.

"Kejap lagi saya makan lah, awak pergi order awal-awal buat apa?"
Zairin bersuara acuh tak acuh. Iffah mengetap bibirnya geram, dia
dipersalahkan sedangkan makan malam ini disambut sempena kepulangan
Zairin dan sambutan hari jadinya yang telah lepas.

Makan malam yang bermula dengan agak baik tadi menjadi hambar selepas
fikiran Zairin terbang kepada Kirana. Apa yang membuatkannya teringat
pada Kirana adalah apabila terlihat lesung pipit pelayan restoran yang
mengambil pesanan tadi. Hatinya ingin sekali menghubungi Kirana, namun
apabila melihat kesungguhan Iffah terhadap hubungan mereka, Zairin
menjadi serba salah. Mungkin perkenalan dengan Kirana adalah satu
ujian kepadanya. Mungkin Tuhan sengaja menguji kesetiaannya terhadap
Iffah. Zairin buntu memikirkannya. Namun hatinya sudah terlalu rindu,
Iffah di hadapannya tidak mampu menghilangkan segala rasa di hatinya
saat itu. Zairin tidak tahu apakah yang harus dilakukan, dia telah
menghilangkan diri daripada Kirana selama tiga hari selepas perbualan
malam itu. Satu pun pesanan tidak dibalas, apatah lagi panggilan
telefon dan Skype. Zairin masih tidak dapat berfikir dengan waras. Dia
bimbang dia tersalah membuat pilihan dan keputusan. Yang tersiksa,
Kirana. Kiranalah yang menjadi mangsa keadaan saat ini.

"What's wrong with you, darl?" Lamunan Kirana terhenti dek sapaan
sahabat baiknya, Julia. Keluhan berat dilepaskan sambil memandang
kosong buku di atas meja.

"Pasal editor tu ke?" Tambah Julia lagi, masih menunggu jawapan dari
Kirana. Kirana mengangguk, sekadar mengiyakan kata-kata Julia.

"Dia M.I.A., aku tak tahu mana nak cari dah. Call tak jawab, text tak
reply, even Facebook dia pun dia tak online. Kalau ikutkan hati ni,
nak aje aku pergi Mont Kiara terjah dia! Tapi aku malu, entah-entah
dia buat tak kenal je aku ni." Kirana memandang tepat ke mata Julia,
mengharapkan pengertian. Rasa sedih yang ditanggung tidak mampu
disembunyikan lagi.

"Jangan-jangan dia dah ada isteri tak? Hari tu kat Singapore boleh lah
dia berlagak bujang, dah balik KL, kena ikat hidung tak?" Julia
mengeluarkan pendapatnya yang agak bernas. Mungkinkah Zairin
sebenarnya sudah berkahwin? Kirana mengerutkan dahinya.

"Betul jugak, babe. Eh, tapi dalam Facebook dia takde pun menunjukkan
ciri-ciri suami orang?" Kirana cuba memberikan pendapat yang lebih
positif. Sebenarnya hatinya sendiri berdoa semoga apa yang dikatakan
Julia tidak benar sama sekali.

"Ye ke? Cuba kau check betul-betul. Entah-entah sebelum ni kau tak
perasan sangat?" Kata-kata Julia membuatkan Kirana berfikir sejenak.
Dia terfikir ada logiknya kata-kata Julia itu. Mungkin selama ini dia
tidak pernah berburuk sangka terhadap Zairin, sebab itulah dia tidak
pernah perasan. Kirana segera bangun mengeluarkan laptopnya di dalam
beg.

"Lelaki ni susah nak percaya, Na. Kita kena berwaspada sentiasa.
Walaupun mungkin dia memang seorang yang jujur, tapi kita tetap kena
berjaga-jaga. Lelaki baik dah tak ramai atas dunia ni. Sebab tu lah
aku malas nak bercinta" Julia menambah lagi. Dia bimbang jika Kirana
ditipu lelaki yang baru dikenali itu. Kirana membuka dinding Facebook
yang bernama Zairin Aminnudin. Dengan tenang dia membuka satu persatu
album gambar Zairin untuk mencari bukti tentang lelaki itu. Sesekali
senyuman terukir di bibirnya apabila melihat gambar-gambar Zairin yang
melucukan. Zairin pernah berlakon sebagai pemain gitar di dalam filem
seram komedi arahan Mamat Khalid. Walaupun hanya beberapa minit,
tetapi lakonan itu sangat melucukan bagi Kirana kerana Zairin
kelihatan pelik di dalam kostum zombie yang bermain gitar.
Gambar-gambar Zairin versi zombie itu benar-benar mencuit hatinya.

"Amboi, orang suruh cari bukti, dia boleh ketawa-ketawa pulak" Sindir
Julia ketika Kirana tergelak-gelak kecil sambil membelek gambar-gambar
Zairin. Kirana tersenyum simpul mendengar sindiran itu.

"Lawak la, babe. Cuba kau tengok ni, aku kenal dia punyalah macho.
tapi dalam cerita ni, nampak macam budak-budak je dia ni kan. Hahaha."
Kirana menunjukkan gambar Zairin kepada Julia. Hanya gelengan yang
menjadi jawapan daripada Julia. Kirana menyambung kembali tugasnya
sebagai stalker. Tiba-tiba Kirana terlihat sebuah album yang memuatkan
gambar-gambar artwork milik Zairin. Apa yang pelik pada album itu
adalah gambar-gambarnya tidak dilabel (tag) kepada sesiapa kecuali
seorang wanita bernama Nuraziffah Muhd Yusri. Hati Kirana
berdebar-debar, apa istimewanya wanita itu sehingga dia seorang sahaja
yang di-tag ke dalam album itu? Hati Kirana berteka-teki.

"Cuba kau bukak je profile dia?" Julia di sisi memberikan cadangan.
Kirana sebenarnya berbelah bahagi samada ingin membuka profil wanita
itu ataupun tidak. Dia bimbang sekiranya tekaan hatinya benar belaka.
Tanpa disedari, tangannya membuka profil wanita yang bernama
Nuraziffah Muhd Yusri itu.

"Ya Allah." Mata Kirana dan Julia tertancap pada gambar-gambar profil
milik wanita itu. Kirana tidak mampu mengucapkan apa-apa melainkan
beristighfar kerana dia terlalu terkejut melihat gambar-gambar Zairin
bersama wanita itu. Sungguh mesra, kebanyakannya diambil di dalam
kereta. Hati Kirana hancur berkecai. Bagaikan tidak sanggup dia
melihat lagi gambar-gambar yang lain.

"Wait, gambar-gambar ni semua dah lama lah, babe. Yang terbaru pun
tahun lepas, September. Bila kau kenal editor? Masa kita dekat
Singapore kan?" Julia masih merenung skrin laptop sementara Kirana
tidak mahu melihat lagi.

"Yup. Masa April Fool, birthday dia" Jawab Kirana lesu. Dia tidak
dapat berfikir dengan waras. Apa yang dikatakan oleh Julia hanyalah
angin lalu kepadanya.

"Okay, aku rasa dia memang dah tak ada apa-apa dengan perempuan ni.
Gambar last diorang tahun lepas lah, babe. Perempuan ni pun nampak
macam clingy and fussy. Mesti editor rimas dengan dia, sebab tu kena
tinggal. Hahaha." Julia terus menerus memberikan komen sedangkan
Kirana tidak mampu berfikir lagi. Dia melepaskan keluhan lalu mengajak
Julia pulang. Julia tidak tahu bagaimana ingin membantu sahabatnya itu
lagi. Mereka lantas mengemas barang untuk pulang ke kolej kediaman.

Zairin terkejut besar saat menerima pesanan ringkas daripada Kirana.
Dia meneguk liur yang terasa perit di kerongkong. Kirana sudah tahu
mengenai Iffah?! Zairin membetulkan duduknya, bimbang reaksinya dibaca
oleh Iffah yang duduk tidak jauh di sisinya. Zairin tidak dapat
membalas pesanan itu kerana dia tidak mampu berfikir dengan waras saat
itu. Wajah Iffah yang berkerut dipandang sambil tersengih.

"What's the matter?" Soal Iffah bila melihat Zairin kelihatan tidak
tenteram. Zairin meneguk liur.

"Nah, Abang Is ajak keluar malam ni. You know, boy's night out" Jawab
Zairin sedikit gugup. Iffah merasakan ada yang tidak kena dengan
kekasihnya itu. Namun dia tidak mahu bertanya banyak kerana bimbang
mood Zairin bertukar. Lelaki itu mudah ambil hati sekarang,
kadang-kadang hal kecil pun nak merajuk, terus ajak pulang.

"Okay, tapi bagi saya habis makan kejap ya" Iffah sekadar
berbasa-basi. Ingin melihat apakah reaksi Zairin apabila dia tidak
menghalang. Zairin melepaskan nafas lega. Dia masih belum bersedia
untuk memberitahu Iffah mengenai Kirana. Iffah kecewa apabila Zairin
benar-benar mengajaknya pulang selepas itu.

Kenapa you nak tahu sangat pasal dia? You ni memang jenis suka ambil
tahu hal yang dah lepas n takde kena mengena dengan you kan?

Zairin membalas pesanan ringkas Kirana selepas beberapa jam berfikir.
Kerja yang tertangguh mengharapkan perhatiannya mula diusik. Beberapa
saat kemudian, mesej daripada Kirana masuk.

I tak kata pun I nak tahu pasal dia, I cuma bagitahu you yang I
terjumpa profile dia. Salah ke?

Zairin menjadi serba salah kerana mengeluarkan kata-kata yang berbaur
tuduhan terhadap Kirana. Dia lalu buntu apakah yang harus dibalas
selepas itu.

Tak. I cuma nak you stop stalking dia. Dia dah tak ada kena mengena
dengan I. Sekarang kita fokus pada kita je. Boleh?

Zairin masih berbohong. Dia tidak dapat mengelak daripada terus
membohongi Kirana kerana dia masih tidak dapat membuat keputusan. Apa
yang mampu dilakukan adalah memberi harapan kepada Kirana bahawa dia
tidak akan meninggalkan gadis itu lagi. Dia membohongi Kirana dengan
mengatakan bahawa dia menghilang beberapa hari lepas kerana kesibukan
kerja dan tidak mahu diganggu. Zairin mengharapkan pengertian daripada
Kirana agar memahami tugasnya yang terlalu sibuk dan memberikan
tekanan. Dia tidak mahu memarahi Kirana apabila gadis itu muncul
ketika emosinya tidak stabil.

Demi mendengarkan jawapan itu, Kirana melompat riang. Rupa-rupanya
Zairin menghilang selama ini kerana terlalu sibuk dengan kerja dan
tidak dapat melayannya. Mungkin ada hikmahnya dia terjumpa profil
bekas kekasih Zairin itu. Sekurang-kurangnya dia tahu mengapa Zairin
menghilang dan kenapa juga Zairin muncul malam ini. Kirana tahu Zairin
takut ditinggalkan lalu terpaksa membalas pesanannya tentang bekas
kekasihnya itu. Zairin tidak pernah membalas pesanannya selama ini
kerana selama ini dia hanya menghantar pesanan rindu dan kasih sahaja.
Mungkin Zairin tidak merasa terancam, kerana itu dia hanya mendiam
seribu bahasa. Hati Kirana menjadi riang dan berbunga. Tidak sia-sia
rasanya dia menunggu Zairin selama ini.

"Maafkan aku, Kirana." Zairin bermonolog sambil melihat gambar-gambar
Kirana melalui Facebook. Dia melihat setiap satunya dengan perasaan
yang membeku. Dia terlalu menyukai gadis itu namun masih gagal membuat
keputusan. Iffah bukanlah sebab utama mengapa dia tidak dapat
memberikan kata putus. Namun, Zairin merasa serba salah dengan
keluarga Iffah yang sudah terlalu mengharap padanya semenjak lima
tahun yang lepas. Keluarga mereka sememangnya rapat, sudah terlalu
rapat sehingga mereka berdua bagaikan sudah bertunang. Bagaimana jika
dia tiba-tiba memutuskan hubungan ini? Apakah yang akan dikatakan oleh
keluarga Iffah? Bagaimana pula perasaan kedua orang tuanya? Mereka
semua sayangkan Iffah kerana Iffah memang pandai mengambil hati orang
tuanya. Adik perempuan Zairin juga sayangkan Iffah kerana tidak pernah
merasai kasih seorang kakak. Mereka hanya dua beradik sejak kecil.
Hati Zairin berbelah bahagi, di antara tanggungjawab, kasih sayang,
dan keinginannya sendiri.

Kirana memiliki semua ciri-ciri yang diidamkan selama ini. Ceria,
manja, pandai menyesuaikan diri, dan dalam masa yang sama tetap
bergantung harap kepadanya. Zairin mahukan wanita yang berdikari
tetapi tetap menghormatinya sebagai lelaki. Dia tidak melihat itu pada
Iffah kerana Iffah terlalu berkeyakinan dan kadang kala kelihatan
ingin menguasai dalam setiap perkara. Iffah terlalu feminist, dia
bagaikan tidak memerlukan Zairin sebagai ketuanya. Itu yang membuatkan
Zairin jelak dengan Iffah. Egonya sebagai lelaki tercabar dan rasa
tidak dihormati. Zairin semakin merindui Kirana, telatah manja gadis
itu dan sifatnya yang merendah diri. Kirana bagaikan lengkap sebagai
seorang wanita sempurna. Dia mampu menjadi seorang gadis yang
berkeyakinan tinggi, dan dalam masa yang sama menjadi seorang wanita
yang sangat merendah diri. Siapakah kau sebenarnya, Kirana? Hati
Zairin menjadi rindu serindu rindunya.

"Dah berapa hari dia tak contact kau?" Soal Julia saat melihat Kirana
muncung di hadapan laptop. Kirana memanjangkan lagi muncungnya tanda
protes kerana Julia sentiasa tahu apa yang bersarang di hatinya. Julia
menggelengkan kepala sambil tertawa kecil melihat telatah Kirana. Dia
menghulurkan minuman yang dipesan kepada Kirana.

"Thanks, babe. Kau ni tahu-tahu aje kan? Macam mana kau tahu?" Soal
Kirana ketika Julia duduk di hadapannya, menghadap laptopnya sendiri.
Julia mengangkat kepala, merenung Kirana sambil tersenyum.

"Kau tu, kalau tengah bahagia muka manis sepanjang masa. Bila muncung
dua tiga hari, tu tandanya si editor buat hal. Betul tak?" Julia
menjawab teka-teki Kirana. Jawapan yang agak tepat itu membuatkan
Kirana ketawa kecil.

"Aku memang tak reti sembunyi masalah kan kalau dengan kau? Ke aku ni
memang macam tu dengan semua orang?" Kirana sengaja memanjangkan
cerita. Sebenarnya hatinya bengkak kerana Zairin menghilang hampir
seminggu kali ini. Kirana cuba untuk mengerti sikap Zairin yang satu
itu, namun dia bingung - susah sangat ke setakat balas mesej satu dua
saat? Dia tahu Zairin sangat sibuk dan tertekan, namun dia juga
memerlukan Zairin di saat-saat genting. Dia mahukan seorang lelaki
yang dapat memberikan perhatian kepadanya di saat suka duka mahupun
saat ditimpa masalah. Kadang kala dia merasakan bahawa Zairin sekadar
memerlukannya apabila lelaki itu sudah tidak punya kerja untuk
dilakukan, di kala kebosanan dan keseorangan. Tetapi apabila dia
bersama teman-teman, Kirana bagaikan tidak diperlukan dan tidak
berguna lagi.

Kirana membuka laman sosial Facebook seperti biasa, dia menaip kekunci
Zairin Aminnudin di ruangan cari. Terdapat beberapa laman web tertera
selain daripada profil lelaki itu. Kirana tekun melihat setiap satunya
- terdapat beberapa akhbar yang memaparkan nama Zairin Aminnudin.
Sebelum menutup tetingkap carian, mata Kirana tertancap pada sebuah
blog yang pernah memasukkan nama Zairin Aminnudin di dalam entrinya.

..Lelaki yang berjaya mencuri hatiku kini adalah Zairin Aminnudin.

Hati Kirana berdebar-debar saat membuka link yang tertera. Link yang
memuatkan nama Zairin adalah sebuah link lama iaitu pada tahun 2006.
Blog tersebut adalah milik Iffah, bekas kekasih Zairin! Jari jemari
Kirana terasa kebas untuk terus membaca entri pada tahun 2006
tersebut. Julia yang dapat menangkap gerak geri Kirana terus bangun
melihat sama apa yang dilihat Kirana ketika itu.

"Oh my. blog ex dia?" Julia bersuara membuatkan Kirana pantas menutup
tetingkap blog tersebut.

"Hey, kenapa tutup? Aku nak tengok jugak, apa nama blog dia?" Julia
bersuara lagi. Kirana menggeleng laju. Julia mengetap bibir, geram.
Jantung Kirana berdegup kencang. Blog ini akan menceritakan
segala-galanya. Semua persoalan akan terjawab dengan adanya blog ini.
Adakah mereka masih bersama, sejak bilakah mereka bersama, semua
persoalan di minda akan terjawab akhirnya. Kirana pantas membuka
semula blog yang menggunakan nama hidup-umpama-roda itu. Julia segera
merapatkan kerusi di sisi Kirana. Perasaan ingin tahunya sama tinggi
dengan Kirana. Siapakah Zairin sebenarnya?

"Awak, kita kahwin hujung tahun ni nak tak? Saya rasa saya dah
bersedia." Iffah melepaskan kata-kata yang terbuku di hatinya beberapa
hari ini. Dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan Zairin lalu
mengambil keputusan untuk melamar lelaki itu sendiri. Dia bimbang akan
kehilangan Zairin jika dia lambat bertindak. Dulu Zairin pernah
melamarnya pada tahun 2009, ketika ulang tahun ketiga perkenalan
mereka. Namun ketika itu darahnya masih muda. Iffah belum bersedia
untuk mendirikan rumah tangga ketika itu, dia belum puas menikmati
zaman bujangnya dan belum puas mencapai impiannya. Walaupun dia tahu
kedudukan kewangan Zairin sudah stabil ketika itu, Iffah masih tetap
mahu mengejar cita-citanya sebagai wanita bujang bekerjaya. Dia tidak
suka usahanya dibayangi lelaki kerana baginya, wanita tidak selemah
yang disangka.

"Kahwin?" Zairin agak terkejut mendengar perkataan itu. Kenapa Iffah
menimbulkan isu kahwin selepas pertemuannya dengan Kirana? Kenapa
bukan dua tahun lepas semasa dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah
tangga? Zairin merenung ke mata Iffah, wanita yang sangat dicintainya
semenjak percintaan mereka lima tahun yang lalu. Senyuman Iffah yang
manis menyejukkan hatinya seketika. Namun perasaannya kini berbaur.
Bagaimana dengan Kirana? Zairin memikirkan masa hadapannya dengan
Kirana dan Iffah. Mana satu yang mungkin membahagiakannya? Adakah
Zairin perlu menjadi manusia yang tidak mengenang budi dengan
meninggalkan Iffah semata-mata kerana gadis yang baru dikenalinya? Ya,
dia tidak begitu mengenali Kirana, mengapa perlu dia bersusah payah
memikirkan soal gadis itu sebagai masa hadapannya? Zairin masih
menggumam kata-kata, tidak tahu bagaimana ingin memberi jawapan kepada
Iffah saat itu.

"Saya nak fokus pada kerja dulu tahun ni." Zairin berdalih. Alasan
kerja sahaja yang terlintas di benaknya. Dia mahu berterus terang
dengan Iffah mengenai Kirana namun hatinya tidak sampai. Dia bimbang
jika Iffah kecewa dengan sikapnya yang tidak pernah bersyukur. Ya,
Zairin bagaikan tidak bersyukur kerana selama ini Iffah lah wanita
yang setia di sampingnya semasa susah dan senang. Iffah yang berada di
sisinya di saat jatuh bangun semenjak tujuh tahun lalu, ketika mereka
masih bersahabat lagi. Namun, perasaan cinta yang membara terhadap
Kirana juga tidak dapat dinafikan, Zairin buntu. Ya, Allah. bantulah
hambaMu ini. Zairin mengucap di dalam hatinya. Dia bagaikan ingin
berlari ke rumah untuk melaksanakan solat istikharah secepat mungkin.
Dia sudah tidak mampu menanggung semua ini lagi.

"I love your smile so much. It's just so sweet 'till I can't even feel
my feet. You make me fly." Kirana merenung tepat ke mata Zairin. Dia
tersenyum saat melihat Zairin mengukir sebuah lagi senyuman untuknya.
Zairin menggenggam jemari Kirana sambil membalas renungan gadis itu.
Dunia bagaikan milik mereka berdua. Zairin dibawa ke sebuah dunia yang
baru baginya, kebahagiaan terasa di mana-mana.

"Thanks, I appreciate that. I will miss you so much, Kirana" Zairin
menyatakan rasa hatinya terhadap Kirana. Pertemuan ketiga di Singapura
itu adalah kali yang terakhir kerana Kirana harus pulang ke Kuala
Lumpur selepas seminggu bercuti di sana. Kirana memejam matanya rapat.
Pulau Sentosa menjadi saksi pertemuan itu, di antara mereka dan
janji-janji manis.

"Balik KL nanti, kita masih boleh jumpa kan?" Ujar Kirana sambil
melentokkan kepalanya ke bahu Zairin. Zairin mengangguk.

"Sure, kalau you tak sibuk?" Balas Zairin pendek. Pandangan
dilemparkan ke pasiran pantai yang indah. Angin sepoi-sepoi menambah
lagi rasa cinta di antara mereka. Bagaikan pasangan suami isteri yang
baru hendak berbulan madu gamaknya.

"Anything for you." Kirana menongkat dagunya di bahu Zairin, merenung
wajah lelaki yang sangat membuai perasaannya ketika itu. Zairin
tersenyum sambil matanya tidak lekang memandang laut yang indah.
Genggaman semakin erat. Kirana memeluk erat tubuh sasa Zairin sehingga
terasa kehangatan cinta yang membara. Pelukan dibalas Zairin, Pulau
Sentosa menjadi saksi dua insan memadu kasih.

Airmata berlinangan. Kirana bagaikan tidak mahu mengingat lagi
detik-detik indah itu. Zairin penipu! Gambar-gambar sambutan
harijadinya sehari selepas Zairin tiba di Kuala Lumpur membuatkan
hatinya luruh. Blog milik Iffah menjadi bukti segala-galanya. Wanita
itu bukanlah bekas kekasihnya seperti yang disangka-sangka. Zairin
pulang ke Kuala Lumpur lebih kurang dua minggu selepas Kirana
meninggalkan Singapura. Menurut Iffah di dalam blognya, sambutan
harijadi itu adalah kejutan khas buat kekasih hati pengarang
jantungnya yang sudah hampir tiga bulan tidak bertemu. Zairin
kelihatan gembira di dalam gambar-gambar tersebut. Seperti kata orang,
gambar menceritakan lebih daripada kata-kata! Kirana menyapu lagi
airmatanya.

"Sudahlah, babe. Lupakan dia okay. He never deserved someone like you"
Julia cuba menenangkan Kirana yang sudah seharian menangis selepas
pulang dari Starbucks semalam. Dia enggan menjamah apa-apa dan hanya
memerap di dalam bilik di hadapan laptopnya. Setiap entri dibaca
dengan linangan airmata membuatkan Julia bingung dan simpati padanya.
Bayangkan beratus-ratus entri dibaca semenjak tahun 2006 sehingga
bulan ini, Mei 2011. Mata Kirana yang bundar semakin membengkak,
hidungnya sudah tersumbat dan airmatanya bagaikan hampir kering setiap
kali membaca blog berkenaan.

"Aku nak tukar nombor, aku nak block Facebook dia, nak spam Skype and
YM dia!" Kirana tersedu-sedan. Julia hanya mengurut bahu sahabatnya
itu.

"Okay, jom pergi beli nombor baru. Kita makan aiskrim sekali, okay?"
Julia cuba memujuk Kirana dengan makanan kegemaran sahabatnya itu
ketika bersedih. Kirana mengangguk lalu bangkit dari katil.

Zairin mundar mandir di dalam biliknya. Telefon bimbit Kirana tidak
dapat dihubungi sejak petang tadi. Hatinya berdebar-debar. Di manakah
Kirana? Apakah Kirana benar-benar merajuk kali ini? Zairin buntu, dia
telah mencuba hingga ratusan kali namun masih gagal dihubungi. Apa
yang lebih mencemaskan, Zairin tidak dapat membuka Facebook milik
Kirana dan Kirana tidak lagi menjadi senarai kenalan di dalam akaun
Skype dan Yahoo Messenger miliknya. Zairin bimbang jika Kirana telah
bosan menunggunya. Dia mula berfikir perkara yang tidak-tidak.
Mungkinkah Kirana sudah bertemu penggantinya, atau mungkinkah Kirana
tidak sesetia yang disangka kerana sanggup meninggalkannya hanya
kerana berputus hubung dalam tempoh seminggu lebih sahaja? Apakah yang
berlaku sebenarnya? Adakah Kirana sudah tahu mengenai Iffah? Persoalan
demi persoalan menerjah masuk ke kotak fikiran Zairin.

"Biarlah saya berterus-terang. Sebenarnya, saya telah mencintai
seseorang semenjak lebih sebulan yang lalu, dan saya mahukan dia
sebagai isteri saya." Akhirnya Zairin meluahkan apa yang terbuku di
hatinya. Suapan Iffah terhenti. Dia kemudian tertawa kecil sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Adakah itu cara awak melamar saya kali ini, Zairin?" Iffah tergelak
lagi namun hatinya seperti telah gugur sebentar tadi. Zairin tunduk
membisu sambil sesekali melihat reaksi Iffah yang agak mengelirukan.
Iffah masih ketawa.

"Saya jatuh cinta pada dia semasa di Singapore. Kirana, student
Masterskills" Zairin menambah, membuatkan airmata Iffah mengalir laju.
Perasaan bersalah mengasak-asak Zairin ketika itu, namun itulah
keputusannya. Dia didatangi Kirana dalam mimpinya setelah menunaikan
solat sunat istikharah malam semalam. Walaupun merasa simpati terhadap
Iffah, namun hatinya begitu yakin dengan mimpi itu dan tidak timbul
satu pun rasa was-was di jiwanya. Zairin menghulurkan sapu tangan
kepada Iffah yang kelihatan kelu seribu bahasa. Hanya airmata
berlinangan di pipinya. Zairin tidak mampu menjelaskan segalanya lagi,
cukuplah Iffah tahu hasratnya untuk bersama dengan Kirana.

"Maafkan saya, tapi saya dah cuba sedaya upaya untuk melupakan dia.
Bukan saya sengaja memilih dia, Tuhan lebih tahu, Iffah" Zairin
menambah selepas suasana masih tidak berubah. Iffah tidak meluahkan
apa-apa melainkan esak tangisnya yang cuba ditahan-tahan. Hati Zairin
menjadi sayu melihat keadaan Iffah seperti itu namun dia tidak
berdaya. Iffah kemudian bangun meninggalkan meja makan. Zairin
terkejut lalu cuba menghalang, namun apabila melihat Iffah tidak
membawa bersama beg tangannya, Zairin kembali duduk. Mungkin dia
perlukan ruang untuk melepaskan kesedihan. Zairin membiarkan Iffah
berlalu seketika. Dia tahu Iffah seorang wanita yang tabah, kerana itu
dia nekad melepaskan Iffah. Simpati bukanlah perasaan yang baik untuk
diakhiri dengan perkahwinan. Dia tidak akan sekali-kali mengahwini
Iffah semata-mata kerana mengenangkan sisa cinta yang semakin sirna.
Itu akan lebih menyiksa batin mereka berdua kelak.

Zairin telah redha melepaskan Iffah, namun kegembiraannya ditarik
apabila gagal menghubungi Kirana malam itu. Dia resah sepanjang malam
kerana bimbang Kirana telah pergi sebelum sempat dia khabarkan berita
gembira itu. Zairin mula mengotori fikirannya dengan berburuk sangka
tentang Kirana. Mungkin dia sudah tersilap langkah, melepaskan Iffah
mungkin satu kesilapan kerana dia terlalu tamak dan terlalu yakin
untuk memiliki Kirana. Namun segera Zairin buang fikiran negatif itu
kerana dia tidak mahu meragui mimpinya malam semalam. Dia yakin ada
sesuatu yang ingin Tuhan tunjukkan kepadanya namun dia masih tidak
dapat merungkainya. Zairin berserah, walau apa pun terjadi dia tidak
akan berpatah balik kepada Iffah. Keputusan itu dibuat bukan kerana
Kirana semata-mata. Dia meninggalkan Iffah kerana pelbagai alasan lain
seperti kedegilan Iffah dan egonya yang terlalu tinggi itu. Zairin
yakin dia tidak mahu wanita seperti itu menjadi ibu kepada
anak-anaknya kelak.

Kirana menjadi lebih kuat berbanding selalu. Walaupun hari-harinya
masih dihantui bayang lelaki itu, dia tidak mungkin lemah kerana
perasaan cinta semata-mata. Kirana kembali ke dunianya yang dipenuhi
gelak tawa rakan dan keluarga. Dia telah meninggalkan rasa rindu yang
melimpah ruah terhadap Zairin. Dia tidak mahu mengingati lelaki itu
lagi. Hatinya hancur bila mengenangkan lelaki yang tegar memainkan
perasaan cintanya itu. Zairin kejam, dia terlalu kejam sehingga tidak
ada satu pun tanda bahawa dia akan mengkhianati aku. Dia terlalu baik,
terlalu penyayang untuk mempermainkan aku. Hati Kirana masih merindui
lelaki itu walaupun telah cuba dinafikan. Hari ini telah genap sebulan
Kirana melepaskan Zairin. Dia harus belajar melupakan dan menerima
dengan hati yang terbuka.

"Kirana!" Suara yang tidak asing di telinga Kirana membuatkan hatinya
berdegup kencang. Kirana menoleh perlahan, bukan Zairin! Keluhan berat
dilepaskan. Bagaimana aku boleh berfikir bahawa suara itu adalah milik
Zairin? Kirana melihat Amirul berlari ke arahnya. Aku ingatkan dia ada
kat sini, sampai Amirul aku sangkakan dia. Bisik hati Kirana yang kuat
merasai kehadiran Zairin di Hari Terbuka Masterskills itu.

"Malam ni meeting jadi tau, tak jadi cancel. Sebab pengarah dah suruh
s/u dia tolong coverkan" Amirul memulakan perbualan selepas mereka
duduk di bangku yang terdapat di sekitar tapak Hari Terbuka
Masterskills itu. Kirana sekadar mengangguk lalu tertawa kecil.

"Tak ada telefon ke nak mesej sampai semput-semput berlari nak
bagitahu aku?" Kirana lucu melihat Amirul tercungap-cungap sebentar
tadi.

"Itu lah, telefon ada tapi isinya yang tak ada" Jawab Amirul ringkas.
Mereka ketawa kecil.

"Kau memang, sepanjang zaman takde credit!" Usik Kirana lagi. Ketawa
mereka berderai.

Dari kejauhan, Zairin melihat kebahagiaan di wajah Kirana di samping
seorang lelaki yang kelihatan sebaya. Dia yang datang ke Hari Terbuka
semata-mata untuk bertemu Kirana telah menemui jawapan untuk segala
persoalan. Hati Zairin remuk, hancur berkecai saat melihat adegan
merpati dua sejoli bercubit-cubitan di pinggir padang. Begitu mudah
cinta Kirana, mudahnya datang dan mudahnya pergi. Zairin merasakan
cintanya yang suci telah diperkotak-katikkan. Segala janji-janji manis
Kirana terhadapnya bagaikan terngiang-ngiang di telinga. Namun Zairin
redha, mungkin dia juga bersalah kerana sering sahaja mendiamkan diri.
Mungkin Kirana seorang yang sukakan perhatian sehingga tidak sanggup
bersama dengannya yang sering menghilangkan diri secara tiba-tiba itu.
Tapi itu dulu, semasa dia masih di dalam dilema di antara Iffah dan
Kirana. Zairin sebenarnya sudah berjanji untuk tidak melakukan perkara
sebegitu lagi terhadap Kirana kerana dia hanya miliknya seorang.
Apakan daya, tidak sempat dia melunaskan janji itu, Kirana telah pun
bertemu pengganti.

Masa berganti, bulan juga berganti. Tahun 2012 menjelma. Selepas
menjalani praktikal di Hospital Kuala Lumpur pada bulan Jun yang lalu,
Kirana terus diserap sebagai pelatih Medical Social Worker selama tiga
bulan di sana. Selepas majlis konvokesyennya Disember lepas, Kirana
kini telah sah menjadi Medical Social Worker yang terlatih. Rezekinya
murah kerana tidak perlu menganggur seperti sesetengah graduan yang
lain. Jadualnya pula tidak terlalu ketat kerana Kirana hanya bekerja
pada waktu pejabat sahaja. Dia hanya akan masuk pada waktu malam
sekiranya ingin membuat over time tetapi sebenarnya tidak begitu
digalakkan kerana tugasnya tidak begitu diperlukan pada waktu
sebegitu. Kirana gembira dengan hidupnya kini dan dia tidak lagi
dibayangi lelaki yang bernama Zairin.

"Jom lunch?" Sapa Dr. Intan, teman Kirana di tempat kerjanya,
merupakan seorang pakar psikologi di sana. Kirana tersenyum lalu
bangkit dari tempat duduknya. Mereka berjalan beriringan menuju ke
kafeteria yang terletak tidak jauh dari bilik mereka.

Tiba-tiba mata Kirana tertancap pada seorang wanita kecil molek yang
sedang berdiri di hadapan kaunter pendaftaran. Wanita kecil molek itu
kemudian duduk di ruangan menunggu di samping seorang lelaki yangt
tidak dikenali Kirana. Adakah wanita itu. Iffah! Kirana berkira-kira
untuk melihat wanita itu dengan lebih dekat. Namun dibatalkan
hasratnya kerana Dr. Intan telah memanggilnya beberapa kali ketika
langkahnya terhenti sebentar tadi. Dia lantas melajukan langkah untuk
mendapatkan Dr. Intan di hadapan.

Jari jemari Kirana bergetar saat menaip kembali kata kunci
hidup-umpama-roda di ruangan enjin carian Google. Beberapa saat
kemudian, tetingkap skrin memaparkan sebuah laman blog yang sudah lama
tidak dilawatinya. Kirana meneguk liur perlahan-lahan sambil
menurunkan kursor sedikit demi sedikit. Iffah kini berbadan dua!
Kirana menelan liur lagi. Hatinya berdegup kencang saat itu. Lelaki
tadi adalah. suami Iffah!! Beberapa entri lama dibuka lagi. Sah,
lelaki tadi adalah suami kepada Iffah yang dinikahi lima bulan yang
lalu! Mereka diijabkabul pada bulan Ogos tahun lalu. Ini bermakna
Iffah berkahwin dengan lelaki lain selepas tiga bulan perpisahan
Kirana dan Zairin. Jadi apakah yang terjadi pada Zairin? Hati Kirana
berdegup kencang. Dia lalu membuka pautan arkib pada bulan Mei 2011.

Jodoh Itu Milik Allah Taala

Akhirnya selepas pahit getir dan badai diharungi, ternyata aku dan
Zairin tidak ditakdirkan untuk bersama. Walau macam mana sekalipun aku
cuba, Tuhan telah menentukan segalanya. Aku redha, dia tinggalkan aku
kerana seorang gadis yang tidak aku kenali - KIRANA. Mendengar namanya
sahaja dapat aku rasai bahawa dia lebih baik untuk Zairin berbanding
diriku sendiri. Aku pasrah. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.
Benar kata orang, jangka masa bukan jaminan sesuatu hubungan itu untuk
ke jinjang pelamin. Zairin 2004-2011. Terima kasih untuk 7 tahun yang
sangat bermakna. Semoga berbahagia. Amin.

Airmata Kirana berlinangan. Maafkan aku Iffah, aku tidak berniat
merampas kebahagiaanmu selama tujuh tahun itu. Aku sendiri tidak tahu
di manakah Zairin kini. Kirana meraung di dalam pejabatnya. Dia lantas
menghubungi Julia yang masih menganggur di rumah. Dia tidak tahu apa
yang ingin dilakukan saat itu. Nombor telefon Zairin yang masih
disimpan direnung seketika. Namun jarinya terus menghubungi Julia.

"Honey, I have something to tell you. I don't know whether it is a
good news or bad. It's Zairin!!" Kirana merasa gementar untuk
memberitahu Julia tentang perkara itu namun dia ingin sekali berkongsi
perasaan dengan seseorang saat itu.

Demi mendengarkan khabar itu, Julia menyarankan Kirana agar
menghubungi Zairin dengan segera. Lelaki manakah yang sanggup
meninggalkan kekasihnya selama tujuh tahun demi seseorang yang baru
dikenali? Tambahan pula Zairin telah berterus-terang dengan Iffah
tentang kewujudan Kirana! Zairin terlalu naif. Kirana merenung nombor
telefon Zairin yang masih di dalam simpanannya. Jari Kirana lalu
menekan butang hubungi sambil hatinya terus berdoa agar segalanya
berjalan dengan lancar.

"Assalammualaikum" Kirana memulakan bicara.

"Waalaikumsalam. Kirana?" Zairin tahu itu adalah Kirana kerana dia
sudah terlalu rindu pada suara itu. Hatinya tahu, Kirana pasti
kembali. Lantas senyuman terukir di bibirnya.

"Maafkan I Zairin. I baru tahu semuanya." Kirana tidak tahu apa yang
perlu diperkatakan lagi selain maaf. Sebaik mendengar namanya sebentar
tadi, hatinya bagaikan menangis kegembiraan. Dia tidak menyangka
begitu mendalam cinta Zairin padanya. Dadanya sebak, segala memori
berpaut kembali. Senyuman Zairin yang dirindui bagaikan di depan
matanya.

"I taknak dengar apa-apa, I nak jumpa you sekarang jugak!!" Suara
Zairin keras di hujung talian. Namun akhirnya ketawa mereka berderai.
Airmata bahagia menitis di pipi Kirana.

"Baby, I miss you so much!! Jom jumpa sekarang, ambil I kat HKL"
Kirana bagaikan tidak mampu bersabar lagi. Dia lantas bercadang
membuat permohonan cuti kecemasan sebentar lagi, semata-mata untuk
bertemu Zairin.

"HKL? You sakit ke?" Soal Zairin agak panik. Lalu Kirana di hujung
talian tertawa kecil.

"Bukanlah, sayang. I kerja sini, MSW. I ambil cuti separuh hari,
okay?" Kirana ketawa kerana dia baru teringat bahawa sebelum ini
Zairin mengenalinya sebagai seorang pelajar universiti.

"Eh, janganlah sampai ambil cuti. Kita jumpa malam nanti, okay. I ada
banyak cerita nak cerita pada you. Kita tidur hotel malam ni, ya!"
Ketawa Zairin berderai. Kirana memuncungkan bibirnya, Zairin gatal!
Zairin merasa sangat bersyukur. Alhamdulillah, tidak sia-sia dia
berdoa setiap hari agar dipanjangkan jodoh bersama Kirana. Dia juga
merasa terharu kerana Kirana sanggup mengambil cuti semata-mata untuk
bertemu dengannya. Ya, inilah ibu kepada anak-anakku, aku hanya
mahukan dia. Terima kasih, cinta!